Sunday, 21, September, 2025
Utama Nasional Agong lakar sejarah lawatan negara ke Rusia, perkukuh hubungan dua hala

Agong lakar sejarah lawatan negara ke Rusia, perkukuh hubungan dua hala

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Lawatan Negara Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim ke Rusia yang bermula esok hingga 10 Ogos atas jemputan rasmi Presiden Vladimir Putin, dijangka membuka lembaran baharu dalam hubungan diplomatik Malaysia-Rusia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, lawatan bersejarah ini berpotensi merancakkan kerjasama strategik dalam pelbagai sektor, antaranya perdagangan, pelaburan, pendidikan tinggi, teknologi, inovasi dan hubungan rakyat dengan rakyat.

“Malaysia berpotensi menarik pelaburan serta teknologi baharu dari Rusia, khususnya dalam sektor tenaga, aeroangkasa, pertahanan dan pertanian pintar. Ini selari dengan agenda Ekonomi MADANI yang menekankan daya saing, kemampanan dan kemakmuran bersama,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Menurut Perdana Menteri, lawatan berkenaan juga menyerlahkan peranan Institusi Diraja Malaysia sebagai pemacu utama diplomasi negara yang dihormati di peringkat antarabangsa.

Beliau menyifatkan lawatan itu sebagai signifikan kerana ia menjadikan Sultan Ibrahim sebagai Ketua Negara Malaysia pertama menjejakkan kaki ke Rusia sejak hubungan diplomatik Malaysia-Rusia dimeterai pada 1967.

“Ia mencerminkan peranan strategik Seri Paduka Baginda sebagai lambang perpaduan dan kekuatan negara dalam memperkukuh hubungan antarabangsa Malaysia,” katanya.

Terdahulu, Anwar mengiringi Sultan Ibrahim ke Istiadat Mengucap Selamat Berangkat di Pangkalan Udara TUDM Subang.

Untuk rekod, Rusia ialah rakan dagang kesembilan terbesar Malaysia dalam kalangan negara Eropah, dan ke-28 secara global, dengan nilai dagangan dua hala mencecah RM11.46 bilion pada tahun lalu.

Bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini pula, nilai perdagangan antara kedua-dua negara direkodkan sebanyak RM4.13 bilion.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com