KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Kerajaan Persekutuan komited sepenuhnya mempertahankan hak dan kedaulatan Sabah sebagai sebahagian daripada Malaysia, termasuk membawa isu berkaitan ke peringkat perundangan antarabangsa sekiranya perlu.
Menurut beliau, usaha itu termasuk memperuntukkan puluhan juta ringgit demi mempertahankan Sabah daripada sebarang bentuk pencerobohan, sama ada di darat atau perairan negara.
“Kita belanja puluhan juta ringgit, mungkin seratus juta, untuk pertahankan hak. Kita tidak benarkan satu inci pun laut atau darat diceroboh. Di mana-mana, di Mahkamah Sepanyol atau di peringkat antarabangsa, kita akan lawan maksimum demi Sabah kerana Sabah adalah Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutup Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2025, di sini pada Ahad.
Turut hadir Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; dan timbalannya, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup.
Anwar berkata, Kerajaan MADANI bukan sahaja mempertahan hak negeri itu, tetapi turut komited memacu pembangunan Sabah melalui pelbagai inisiatif, termasuk pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Antara yang telah dilaksanakan ialah kenaikan pemberian khas interim kepada Sabah daripada RM300 juta kepada RM600 juta, serta kelulusan RM10 bilion untuk menyiapkan projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah.
“Projek ini tertangguh bawah kerajaan sebelum ini, tapi kita teruskan di bawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan. Mungkin belum nampak hasilnya, tapi kita dah lulus dan kerja di lapangan sedang berjalan,” katanya.
Dalam aspek utiliti, beliau mengumumkan bahawa pengurusan bekalan elektrik kini diserahkan sepenuhnya kepada kerajaan negeri dengan subsidi berjumlah RM3.54 bilion hingga tahun 2030.
Bagi menangani isu bekalan air yang masih berlarutan di Sabah, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan segera sebanyak RM300 juta. Projek-projek air bernilai di bawah RM50 juta pula diserahkan terus kepada kerajaan negeri untuk diselia dan dilaksanakan.