Sunday, 10, August, 2025
Utama Nasional Islamofobia perlu ditangani dengan hikmah, ilmu dan kefahaman – PM

Islamofobia perlu ditangani dengan hikmah, ilmu dan kefahaman – PM

oleh Ammar Haziq

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Islamofobia mesti ditangani berlandaskan ajaran Islam yang mengutamakan hikmah, ilmu dan kefahaman, bukannya melalui cercaan atau tindakan balas bersifat emosional.

Beliau berkata, fenomena Islamofobia yang semakin berleluasa di seluruh dunia berpunca daripada kejahilan serta kegagalan membina pemahaman antara masyarakat berbeza latar belakang, khususnya agama.

Lebih membimbangkan, katanya, isu itu kini turut dijadikan agenda oleh sesetengah kerajaan dan parti politik berhaluan kanan.

“Kita boleh memilih untuk menjerit, memaki atau mengutuk, tetapi di Malaysia, kita memilih untuk bertindak mengikut ajaran Islam melalui dialog, ilmu dan kefahaman,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Pelancaran Al-Quran beserta Terjemahan Bahasa ke-30 iaitu bahasa Rusia, serta peluncuran Mushaf al-Ummah dan kontena penghantaran al-Quran ke Perancis, di sini, pada Jumaat.

Anwar berkata, pendekatan itu turut dizahirkan menerusi usaha memperluas pengeluaran dan pengedaran al-Quran di dalam dan luar negara, dengan Malaysia kini muncul antara pengeluar terbesar dunia selepas Arab Saudi dan Mesir.

“Yang menyebabkan kita mengangkatnya ke mercu lebih tinggi ialah cara umat Islam menjawab cabaran dengan hikmah, bukan cercaan atau tindakan balas sembrono. Kita hasilkan terjemahan al-Quran dan edarkan di banyak tempat sebagai jawapan lebih bermakna,” katanya.

Menurutnya, langkah berkenaan selaras dengan semangat Islam yang menekankan penyebaran ilmu dan pemahaman sebagai cara terbaik membanteras prejudis serta salah tanggapan terhadap agama.

Pelancaran terjemahan al-Quran ke-30 dalam bahasa Rusia oleh Yayasan Restu adalah sebahagian Projek Sejuta Naskhah al-Quran yang diumumkan pada 2023, sebagai tindak balas kepada insiden pembakaran al-Quran di Sweden.

Dalam tempoh dua tahun lalu, projek itu telah menghasilkan dan mengedarkan terjemahan al-Quran dalam 29 bahasa termasuk Inggeris, Tagalog, Perancis, Hindi, Hausa dan Sepanyol.

Dengan edisi terbaharu ini, Yayasan Restu merancang menambah 30 lagi terjemahan bahasa asing dalam tempoh tiga tahun akan datang, menjadikan keseluruhannya 60 bahasa, sekali gus memperkukuh usaha dakwah di peringkat global.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com