KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan pembinaan sekolah menegak di kawasan Residensi Aman MADANI bagi memenuhi keperluan pendidikan penduduk setempat.
Beliau berkata, cadangan itu dibuat selepas perbincangan bersama pemaju, kementerian dan agensi berkaitan susulan perasmian majlis pecah tanah projek residensi berkenaan di Bandar Sri Permaisuri, pada 6 Ogos lalu.
Menurutnya, walaupun terdapat sekolah rendah berhampiran, kapasiti sedia ada tidak mencukupi untuk menampung pertambahan penduduk.
“Justeru, saya mencadangkan supaya dibina sekolah menegak dalam kawasan pembangunan, atau sebuah sekolah berhadapan residensi yang dihubungkan melalui jejantas,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Anwar berkata, sekolah berkenaan akan terbuka kepada semua penduduk setempat dan dilengkapi kemudahan selaras dengan kerangka MADANI, termasuk tadika, surau, klinik serta pusat keselamatan.
“Pastinya semua prasarana lengkap ini diwujudkan demi keselesaan rakyat,” katanya.
Pada 18 Februari lalu, media melaporkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bercadang membangunkan sekolah konsep menegak yang menempatkan dua blok bangunan setinggi antara 10 hingga 17 tingkat di kawasan pusat bandar, bagi mengatasi kekangan tanah dan memenuhi keperluan penduduk.
Kementerian Pendidikan pula pada 30 Julai lalu memuktamadkan Panduan Perancangan Pembangunan Sekolah Secara Menegak dengan mengambil kira beberapa prinsip reka bentuk asas, termasuk aspek pengawasan dan keselamatan murid.