KUALA LUMPUR: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menghadiahkan sebuah arca khas dinamakan Rise Up Together (Bangkit Bersama) kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena ulang tahun kelahiran ke-78 beliau.
Kor Ming yang juga Presiden Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) berkata, arca tersebut ditempah khas ketika lawatan rasminya ke Nairobi, Kenya bagi menghadiri Perhimpunan Agung UN-Habitat, dan melambangkan perpaduan nasional serta keharmonian dalam kepelbagaian rakyat Malaysia.
“Karya seni ini melambangkan kekuatan dan perpaduan rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang kaum dan agama yang bersatu padu, selari dengan aspirasi utama Kerajaan MADANI untuk memupuk perpaduan dan memacu kemajuan negara,” katanya dalam kenyataan.
Timbalan Pengerusi DAP itu berkata, pentadbiran MADANI yang diterajui Anwar berjaya mewujudkan kestabilan politik sepanjang dua tahun kebelakangan ini, sekali gus mengakhiri tempoh ketidaktentuan politik yang menyaksikan pertukaran tiga perdana menteri dalam tempoh empat tahun.
“Dengan ekonomi yang semakin berkembang, ringgit yang mengukuh serta peningkatan ketara dalam kedudukan daya saing global kita, Malaysia berada di landasan yang tepat. Kita perlu terus memelihara perpaduan dan keharmonian bagi memastikan keamanan dan kemajuan,” katanya.
Nga turut menegaskan, kedudukan Malaysia di peringkat antarabangsa semakin kukuh, termasuk peranan terbaharu Anwar sebagai orang tengah dalam usaha persetujuan gencatan senjata antara Thailand dengan Kemboja yang mendapat pujian pemimpin dunia.
“Menerusi Malaysia MADANI, komuniti berbilang kaum kita mampu menjadi lebih bersatu, makmur dan maju. Perdana Menteri bukan sahaja memperjuangkan prinsip keterangkuman di dalam negara, malah turut menonjolkan kepimpinan Malaysia di peringkat global.
“Saya yakin di bawah kepimpinan beliau, kita akan merealisasikan visi Bangkit Bersama dan memartabatkan Malaysia sebagai negara contoh dalam keharmonian,” katanya.