POKOK SENA – Pemergian adik Zara Qairina Mahathir terus mengundang kesedihan dan kemarahan rakyat, khususnya dalam kalangan keluarga marhaen yang menuntut keadilan dan ketelusan siasatan.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pokok Sena, Mohd Farhan Ahmad berkata, kematian remaja berusia 13 tahun itu bukan sahaja meninggalkan luka mendalam kepada keluarganya, malah juga kepada seluruh rakyat Malaysia.
Beliau turut menyeru rakyat agar tidak berdiam diri dan tampil bersuara jika mengetahui sebarang kejadian yang menindas anak-anak di institusi pendidikan.
“Diam itu tanda kita reda, dan kita tidak reda lagi. Hari ini, kita semua adalah Zara Qairina. Hari ini, kita menuntut keadilan. Hari ini, kita bersumpah tidak akan diam lagi,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, rakyat bawahan sering kali berdepan kesukaran untuk menegakkan kebenaran apabila tragedi menimpa golongan mereka, dan sudah tiba masanya suara rakyat tidak lagi dibungkam.
“Zara hanyalah seorang anak yang baru mengenal dunia remaja, tetapi kini pergi meninggalkan kita dengan seribu persoalan. Keluarganya memeluk luka yang tidak akan sembuh seumur hidup, dan luka itu, kita semua rasakan,” ujarnya.
Pemuda UMNO Pokok Sena turut menggesa agar sebarang unsur buli, penganiayaan atau kecuaian yang terbukti dalam siasatan mesti dihukum seberat-beratnya tanpa mengira latar belakang pelaku.
Mereka juga menolak dasar anti-buli yang hanya wujud di atas kertas dan menyeru agar ia dikuatkuasakan dengan tindakan tegas serta pemantauan berterusan.
“Jangan lagi ada undang-undang yang memilih bulu. Jangan lagi nyawa anak-anak rakyat bawahan menjadi korban kerana sistem yang lemah atau pemimpin yang lembik.
“Setiap anak di negara ini adalah amanah, bukan sekadar angka dalam laporan. Budaya buli mesti dihapuskan dari sekolah hingga ke seluruh pelosok tanah air,” katanya lagi.