Saturday, 16, August, 2025
Utama Nasional Malaysia, Bangladesh meterai 8 MoU perkukuh kerjasama strategik

Malaysia, Bangladesh meterai 8 MoU perkukuh kerjasama strategik

oleh Ammar Haziq

PUTRAJAYA: Malaysia dan Bangladesh memeterai lapan memorandum persefahaman (MoU) serta perjanjian bagi memperkukuh hubungan dua hala dalam pelbagai sektor strategik, bersempena lawatan rasmi tiga hari Ketua Penasihat Bangladesh, Prof Muhammad Yunus ke negara ini.

Majlis menandatangani dokumen berkenaan disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersama Muhammad Yunus.

Antara dokumen penting ialah MoU kerjasama pertahanan yang ditandatangani Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, dengan Penasihat Hal Ehwal Luar Bangladesh, Md Touhid Hossain.

Turut dimeterai ialah MoU pembekalan serta infrastruktur gas asli cecair (LNG), produk petroleum dan kemudahan berkaitan, yang ditandatangani Menteri Kewangan II merangkap Pemangku Menteri Ekonomi, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, dengan Penasihat Bangladesh bagi Pengangkutan Jalan Raya dan Jambatan, Tenaga, Sumber Mineral dan Perkhidmatan Kereta Api, M Fouzul Kabir Khan.

Dalam sektor pendidikan, Pertukaran Nota mengenai kerjasama latihan pegawai diplomatik dan pendidikan tinggi ditandatangani Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, yang turut mewakili Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, bagi Pertukaran Nota Pendidikan Tinggi.

Kerjasama ekosistem halal pula dimeterai menerusi Pertukaran Nota antara Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Zulkifli Hasan, dan Pengerusi Eksekutif Pihak Berkuasa Pembangunan Pelaburan Bangladesh, Chowdhury Ashik Mahmud Harun.

Dalam bidang penyelidikan strategik, satu MoU ditandatangani antara Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia dengan Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Bangladesh.

Sektor perniagaan turut diperkukuh menerusi MoU antara MIMOS Services Sdn Bhd dan Dewan Perdagangan serta Perindustrian Bangladesh–Malaysia (BMCCI).

Selain itu, Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) memeterai perjanjian dengan Persekutuan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Bangladesh (FBCCI).

Lawatan Muhammad Yunus mencerminkan komitmen kedua-dua negara untuk memperluas kerjasama dalam perdagangan, pelaburan, pembangunan modal insan dan pertukaran budaya.

Pada 2024, jumlah dagangan Malaysia–Bangladesh mencecah RM13.35 bilion (AS$2.92 bilion), meningkat 5.1 peratus berbanding 2023.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com