KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan siasatan telus dijalankan berhubung kes serangan terhadap anak bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli.
Beliau berkata perkara itu telah dimaklumkan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, susulan insiden yang disifatkan sebagai tindakan jahat dan khianat.
“Kita masih belum reda daripada gejala buli di sekolah, muncul pula satu lagi tindakan yang sangat dikesalkan. Mutakhir adalah percubaan jahat dan khianat terhadap anakanda saudara Rafizi Ramli,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mendoakan keselamatan dan kesejahteraan Rafizi sekeluarga.
Sementara itu, Saifuddin Nasution dalam kenyataan hari ini memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara adil berlandaskan undang-undang, tanpa mengira status atau latar belakang pihak terlibat.
Beliau berkata Kementerian Dalam Negeri memandang serius insiden tersebut dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah digerakkan untuk menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti dan menangkap pihak yang bertanggungjawab.
Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar mengesahkan kejadian berlaku di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya kira-kira jam 2 petang, di kawasan mengambil dan menurunkan penumpang.
Rafizi yang mengesahkan kejadian itu berkata anaknya telah diheret oleh seorang lelaki dan dicucuk dengan jarum suntikan, dipercayai membabitkan dua suspek berpakaian serba hitam serta bertopi keledar yang menutup wajah.
Kedua-dua lelaki itu dikatakan menaiki sebuah motosikal sebelum melarikan diri, manakala anak Rafizi telah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.