Saturday, 16, August, 2025
Utama Nasional PM sedia mohon maaf kepada Muhyiddin,jika siasatan MCMC buktikan dakwaan tidak benar

PM sedia mohon maaf kepada Muhyiddin,jika siasatan MCMC buktikan dakwaan tidak benar

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersedia memohon maaf kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sekiranya hasil siasatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membuktikan dakwaannya tidak berasas.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, keputusan itu bergantung kepada laporan siasatan berhubung kenyataan beliau di Dewan Rakyat yang mendakwa Muhyiddin mempertahankan warga asing dalam isu penyasaran subsidi RON95, baru-baru ini.

“Saya tunggu keputusan daripada MCMC. Kalau terbukti tidak benar, saya akan minta maaf,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.

Sebelum ini, Anwar dilaporkan berkata beliau menerima laporan bahawa ada Ahli Parlimen pembangkang mempertahankan hak warga asing untuk menikmati penyelarasan subsidi. Susulan itu, Muhyiddin meminta Anwar memohon maaf berhubung kenyataan tersebut.

Mengulas lanjut, Anwar menafikan beliau mengarahkan MCMC menyiasat Muhyiddin secara langsung, sebaliknya siasatan hanya tertumpu kepada sumber asal kenyataan berkenaan.

“Ada yang salah faham kata MCMC siasat Pagoh (Muhyiddin). Tidak. Saya jelaskan, saya kata sumber ini daripada 1, 2, 3. Tolong siasat 1, 2, 3 ini apakah sahih.

“Kalau tidak sahih, maka memang kenyataan itu tidak benar. Tapi biar tunggu keputusan daripada MCMC dahulu,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com