IPOH: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan rampasan wang hasil kegiatan rasuah berjumlah hampir RM5 bilion dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini mencerminkan ketegasan dan kesungguhan Kerajaan MADANI membanteras gejala itu.
Beliau berkata pencapaian berkenaan adalah hasil tindakan bersepadu pelbagai agensi penguat kuasa meskipun ada pihak yang masih memperlekeh usaha kerajaan memperkukuh tatakelola dan integriti pentadbiran.
“Ada yang mempersenda kononnya kita hanya retorik bila bercakap soal tatakelola dan perang terhadap rasuah. Tetapi saya nak nyatakan, hasil tindakan yang diambil merangkumi orang politik, jabatan kerajaan, imigresen dan kastam, jumlah wang yang berjaya dirampas mencecah RM4 hingga RM5 bilion,” katanya ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembangunan Ipoh Sentral, di sini hari pada Sabtu.
Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke serta Pengerusi MRCB Land, Tan Sri Mohd Annuar Zaini.
Anwar menegaskan setiap projek pembangunan perlu berlandaskan tatakelola yang baik supaya dapat dilaksanakan dengan cekap, selain memanfaatkan teknologi moden termasuk kecerdasan buatan (AI).
“Saya berharap Ipoh Sentral ini menjadi contoh projek bersepadu terbaik. Walaupun sudah ada perancangan, saya minta semua pihak termasuk kerajaan negeri, majlis bandaraya dan kementerian meneliti semula aspek tatakelolanya.
“Kalau ada ruang penambahbaikan, lakukan segera supaya projek ini benar-benar menjadi model pembangunan menyeluruh yang boleh kita banggakan,” katanya.