KUALA LUMPUR: Kerajaan MADANI memperuntukkan dana awal berjumlah RM100,000 bagi menyokong penganjuran Program RXZ Members 7.0 yang akan berlangsung di Litar Permotoran Gong Badak, Terengganu mulai 23 Ogos ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sokongan itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkasa industri permotoran tanah air selain memastikan penganjuran acara berjalan dengan selamat dan tersusun.
Beliau menegaskan bahawa komuniti permotoran bukan sekadar ruang hiburan, tetapi turut menjadi pemangkin kepada semangat kebersamaan, jaringan silaturahim serta penyumbang kepada ekonomi tempatan.
“Kerajaan melihat program sebegini sebagai platform besar untuk menghimpunkan penggiat dan peminat dari seluruh negara. Ia bukan hanya acara tahunan, tetapi simbol budaya permotoran yang berkembang,” katanya dalam satu kenyataan.
Anwar turut memaklumkan bahawa perbincangan lanjut bersama pihak penganjur akan diadakan minggu hadapan bagi menilai keperluan tambahan termasuk aspek logistik dan fasiliti agar acara dapat berlangsung dengan lebih lancar.
Seiring itu, beliau mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberikan kawalan keselamatan rapi sepanjang program berlangsung, memandangkan ribuan penunggang dijangka membanjiri Terengganu pada hujung minggu berkenaan.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, seramai 600 pegawai dan anggota akan ditugaskan melibatkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) serta Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu.
Beliau menjelaskan kawalan itu bertujuan memastikan kelancaran lalu lintas, selain mengelakkan sebarang insiden tidak diingini sepanjang program yang dijadualkan berlangsung selama tiga hari.
RXZ Members 7.0 dijangka menghimpunkan lebih 100,000 penunggang motosikal, sekali gus menjadikan ia antara acara permotoran terbesar di negara ini dengan tumpuan utama di pantai timur.