Tuesday, 19, August, 2025
Utama Nasional Pendidikan angkat martabat, bukan cipta kebencian

Pendidikan angkat martabat, bukan cipta kebencian

oleh Ammar Haziq

CYBERJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa dalam arus kemajuan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI), nilai kemanusiaan tidak boleh diketepikan kerana ia menjadi asas kepada pembinaan masyarakat yang beradab dan sejahtera.

Beliau berkata, insiden buli sehingga menyebabkan kematian serta cubaan menyalakan api perkauman adalah cabaran besar yang menuntut semua pihak memainkan peranan bagi mempertahankan negara daripada gejala negatif itu.

Menurut Anwar, amat mengecewakan apabila terdapat segelintir pihak berpendidikan tinggi tetapi masih memilih cara berhujah yang dangkal dan berteraskan kebencian, walaupun negara sudah lebih enam dekad mencapai kemerdekaan.

“Sudah 68 tahun merdeka, masih lagi ada yang mengajak bergaduh bukan berlandaskan fakta. Ramai lulusan universiti, tetapi berbicara dengan cara hambar dan bobrok, membangkitkan isu kaum, menghina agama dan warna kulit. Itu bukan makna pendidikan,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa pendidikan sepatutnya mengangkat martabat manusia, menjadikan seseorang lebih baik dan hebat melalui ilmu pengetahuan, bukannya merendahkan nilai kemanusiaan dengan budaya buli atau perkauman sempit.

“Saya harap anak-anak pertahankan nilai ini dan sampaikan kepada ibu bapa serta rakan-rakan. Negara mesti diselamatkan daripada unsur begini. Tak malukah kita kalau sekolah, universiti dan hospital menjadi tempat penderaan dan buli? Itu bukan kemanusiaan,” tegasnya.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada program Temu Anwar serta merasmikan Fakulti Kecerdasan Buatan dan Kejuruteraan di Universiti Multimedia (MMU), di sini, semalam.

Dalam ucapannya, beliau turut menegaskan bahawa kerajaan Madani tidak akan menyembunyikan fakta berkaitan kes kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir, menolak dakwaan pihak tertentu yang cuba menghasut masyarakat dengan berita palsu.

“Kalau ada jenayah, saya tidak peduli anak siapa yang terlibat. Jika bersalah, tetap akan didakwa dan dihukum. Itulah prinsip kita dalam kerajaan Madani, keadilan mesti ditegakkan tanpa pilih kasih,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com