Thursday, 21, August, 2025
Utama Nasional Anwar bincang dengan Pemimpin Kemboja, Thailand gencatan senjata dan operasi IOT

Anwar bincang dengan Pemimpin Kemboja, Thailand gencatan senjata dan operasi IOT

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perbincangan telefon dengan rakan sejawatnya dari Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai berhubung perkembangan terkini gencatan senjata antara dua negara itu.

Menerusi hantaran di Facebook, Anwar memaklumkan perbincangan tersebut turut menyentuh mengenai pasukan pemerhati sementara (IOT) yang kini menjalankan pemantauan di kawasan sempadan kedua-dua negara.

“(Kami turut) berbincang lanjut mengenai langkah lain untuk memperkemas keberkesanan operasi pemantauan oleh IOT,” katanya.

Selasa lalu, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar menjelaskan pasukan IOT yang diketuai Malaysia memainkan peranan penting dalam menyiasat ketelusan pelaksanaan gencatan senjata di sempadan Thailand-Kemboja.

Beliau turut memaklumkan hasil siasatan pasukan itu akan dikongsikan kepada kedua-dua negara terlibat.

Pada 28 Julai lalu, Thailand dan Kemboja mencapai persetujuan melaksanakan gencatan senjata tanpa syarat selepas mesyuarat khas di Putrajaya yang dihoskan Malaysia.

Mesyuarat itu turut menyaksikan Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai bersetuju mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) sebagai sebahagian daripada pelaksanaan perjanjian gencatan senjata.

Dalam hantaran berasingan, Anwar memaklumkan beliau juga mengadakan perbincangan telefon mengenai isu sama dengan Phumtham.

“Kami memberi penekanan kepada usaha IOT yang terus memantau keadaan di sempadan, selain membincangkan beberapa ikhtiar lain bagi memperkukuh operasi pemantauan,” katanya.

Beliau menambah, perbincangan itu turut menyentuh mengenai mesyuarat GBC Thailand-Kemboja yang dijadualkan berlangsung bulan depan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com