Gambar Ihsan Azizah Zulkafli dan UiTM Photo Centre
SINTOK: Minat mendalam terhadap badan beruniform sejak di bangku sekolah membolehkan Leftenan Muda (Pertahanan Awam) Azizah Zulkafli, 23, dinobatkan sebagai Pegawai Kadet Terbaik Universiti Utara Malaysia (UUM) sempena Istiadat Pentauliahan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam Peringkat Kebangsaan Kali Ke-16 Tahun 2025 yang berlangsung di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, Sabtu lalu.
Pelajar Semester Enam dalam program Sarjana Muda Linguistik Terapan dan Pentadbiran Perniagaan itu berkata, penglibatannya dalam pelbagai badan beruniform sejak di sekolah menengah termasuk Kadet Polis, Kadet Remaja Sekolah (KRS) dan Pengakap yang telah mendorongnya untuk meneroka cabang lain seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Azizah berkata, APM bukan sahaja memberi pendedahan dalam bidang penyelamatan, malah turut merangkumi skop pembelajaran yang luas serta menyeluruh.
“Set minda masyarakat biasanya beranggapan APM hanya menangkap ular atau menyelamatkan kucing. Namun sebenarnya, APM meliputi pelbagai aspek seperti bantuan kecemasan, pengurusan bencana, latihan dan pembangunan pegawai.
“Faktor inilah yang menambahkan minat saya terhadap APM dan membuatkan saya berbangga menjadi sebahagian daripadanya. Kejayaan hari ini saya dedikasikan kepada arwah bapa saya, Zulkafli Adnan, dan ibu saya, Salma Abdul Rashid,” katanya.
Azizah menerima anugerah tersebut daripada Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin binti Abdul Rahman.
Beliau meluahkan rasa syukur dan terharu atas pemilihannya sebagai Pegawai Kadet Terbaik UUM, kerana pada awalnya tidak meletakkan harapan tinggi memandangkan ramai calon lain yang turut berpotensi.
“Alhamdulillah, saya berbangga kerana berjaya mengharumkan nama UUM di peringkat kebangsaan,” katanya.
Mengulas tentang cabaran sepanjang penglibatannya dalam Kor Sispa, Azizah mengakui bahawa salah satu cabaran utama adalah membahagikan masa antara pelajaran dan latihan, cabaran yang turut dihadapi oleh ramai pelajar lain.
“Walaupun latihan kami tidak seberat sesetengah badan beruniform lain, namun kekangan masa latihan agak mencabar. Selain itu, kerja berpasukan juga tidak mudah, terutama apabila saya perlu menguruskan pasukan sebagai ketua platun.”
Beliau turut berkongsi tentang cabaran dari segi kelengkapan seperti menguruskan pakaian dan aksesori yang perlu dipinjam atau dibeli.
“Sebagai pelajar, membeli semuanya adalah satu bebanan. Namun, dengan bantuan pegawai, saya berjaya melengkapkan keperluan uniform dan aksesori.
“Di samping tekanan emosi dan fizikal turut menjadi cabaran besar dalam menamatkan perjuangan pentauliahan. Emosi saya sangat terganggu selepas kehilangan bapa tahun lalu. Dalam masa sama, saya mengikuti kursus Kor SISPA, menguruskan kelab di UUM, menduduki peperiksaan, serta mengendalikan urusan bagi Industry Immersion. Semuanya berlaku serentak,” kata anak bongsu daripada enam beradik ini.
Azizah merupakan antara 25 Pegawai Kadet Kor SISPA dari Universiti Utara Malaysia yang telah ditauliahkan pangkat Leftenan Muda Pertahanan Awam sempena istiadat pentauliahan tersebut.