Saturday, 23, August, 2025
Utama Tech Malaysia perkukuh benteng siber, RUU Jenayah Siber dibentang hujung tahun

Malaysia perkukuh benteng siber, RUU Jenayah Siber dibentang hujung tahun

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu membina kekuatan teknologi sendiri termasuk dalam bidang pengkomputeran awan bagi memastikan data sulit dan aset strategik negara terus terlindung daripada ancaman digital.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) Bilangan 2 Tahun 2025 yang dipengerusikannya pada Khamis, dengan penekanan kepada aspek keselamatan dalam pembangunan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran awan.

Menurut beliau, kerajaan komited meningkatkan ketahanan siber negara melalui perlindungan infrastruktur kritikal, memperhebat kesedaran awam serta memperkukuh kerjasama antara agensi kerajaan, sektor swasta dan pihak antarabangsa.

“Bagi melengkapkan usaha ini, Rang Undang-Undang Jenayah Siber akan dibawa ke Parlimen hujung tahun ini,” katanya dalam kenyataan.

Anwar turut menekankan kepentingan setiap individu melindungi data peribadi ketika berurusan dalam talian, antaranya dengan penggunaan MyDigital ID yang kini merekodkan pendaftaran purata 25,000 pengguna sehari hasil integrasi dengan aplikasi kerajaan seperti MyJPJ, MySejahtera, MyBayar PDRM dan MyGOV.

Beliau berkata, komitmen Malaysia dalam menentang jenayah siber turut dizahirkan di peringkat antarabangsa apabila negara bakal menandatangani Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai jenayah siber di Hanoi, Vietnam dalam masa terdekat.

Mesyuarat JKSN itu juga memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi kriptografi pascakuantum (PQC) yang akan dibangunkan bersama Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), penyelidik dan industri, sebagai langkah memperkukuh perlindungan terhadap ancaman baharu.

Perdana Menteri menegaskan bahawa usaha bersepadu itu penting bagi menjamin keselamatan negara, membendung ancaman siber dan memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com