Saturday, 23, August, 2025
Utama Nasional 100,000 dijangka sertai Himpunan & Selawat Malaysiaku Bersama Gaza esok

100,000 dijangka sertai Himpunan & Selawat Malaysiaku Bersama Gaza esok

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak seluruh rakyat Malaysia hadir beramai-ramai ke Himpunan & Selawat Malaysiaku Bersama Gaza yang akan berlangsung di Dataran Merdeka pada Ahad ini sebagai tanda solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin.

Beliau menegaskan, perhimpunan itu bukan sekadar simbol sokongan kepada penduduk Gaza yang berdepan kekejaman rejim Zionis, sebaliknya menjadi permulaan kepada misi bantuan kemanusiaan oleh delegasi aktivis Malaysia yang dijadual berangkat ke wilayah berkenaan hujung bulan ini.

“Insya-Allah, kita akan berhimpun di Dataran Merdeka Ahad ini untuk menyatakan solidariti terhadap saudara kita di Palestin.

“Ayuh kita bersama-sama menyemarakkan panji-panji keadilan dan kemanusiaan. Semoga doa dan usaha ini memberi kekuatan kepada rakyat Palestin untuk terus bangkit memperjuangkan kemerdekaan bumi mereka,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi.

Program itu dianjurkan bersama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan Cinta Gaza Malaysia (CGM), dengan naungan Perdana Menteri.

Ia turut mendapat sokongan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

Pihak penganjur menjangkakan kehadiran lebih 100,000 peserta dari seluruh negara, dengan tema pakaian berwarna putih sebagai lambang kesatuan rakyat Malaysia terhadap perjuangan membebaskan Palestin.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com