Saturday, 23, August, 2025
Utama Nasional PM gesa negeri jangan abaikan penjaja kecil Melayu

PM gesa negeri jangan abaikan penjaja kecil Melayu

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya tidak mengabaikan kepentingan peniaga kecil khususnya penjaja Melayu yang menjadi nadi ekonomi masyarakat bandar.

Beliau berkata, usaha pembangunan semula pusat perniagaan dan kemudahan penjaja perlu diberi perhatian sama seperti pembinaan gedung moden, dengan mengambil contoh pendekatan yang telah digerakkan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Sebab itu, saya gesa kerajaan negeri dan PBT mencontohi apa yang kita mula laksanakan di Kuala Lumpur. Jangan abaikan penjaja Melayu dan peniaga kecil di kota-kota kita. Nilai sesebuah bandar bukan hanya pada bangunan baharu, tetapi pada usaha menyediakan gerai, warung, medan selera serta kemudahan asas yang bersih dan indah untuk rakyat,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Makan Malam Sempena Jubli Emas Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM) di ibu negara, malam tadi.

Anwar berkata, di Kuala Lumpur beliau telah mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membangunkan semula antara 60 hingga 70 gerai selain menyediakan sebuah medan selera lebih selesa untuk dimanfaatkan penjaja kecil.

Menurutnya, meskipun peranan penjaja sering dipandang kecil, hakikatnya mereka menyumbang secara besar kepada masyarakat kerana 80 peratus rakyat lebih gemar berbelanja di gerai kecil.

“Tidak munasabah jika peniaga kecil dan penjaja Melayu diketepikan dalam dasar pembangunan negara,” tegasnya.

Pada majlis sama, Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM500,000 kepada GPPPKMM bagi memperkukuh peranan persatuan itu dalam membela nasib penjaja kecil di seluruh negara.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com