BEIJING: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal bersama lebih 20 pemimpin dunia menghadiri Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) kali ke-25 di Tianjin, China, pada 31 Ogos hingga 1 September ini.
Menurut Pembantu Menteri Luar China, Liu Bin, antara pemimpin lain yang dijangka hadir termasuk Presiden Rusia, Vladimir Putin; Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan; Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif; serta Presiden Indonesia, Prabowo Subianto.
Sidang kemuncak itu turut mendapat penyertaan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres bersama sembilan pemimpin organisasi antarabangsa lain.
“Presiden Xi Jinping akan mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ketua-Ketua Negara SCO ke-25 dan Mesyuarat SCO Plus, di mana beliau dijadual menyampaikan ucaptama,” kata Liu pada taklimat media di Kementerian Luar China, semalam.
Taklimat berkenaan turut disertai wartawan asing di bawah Program Pusat Komunikasi Media Antarabangsa China (CIPCC) 2025, termasuk wakil Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).
Liu menjelaskan, sidang kemuncak Tianjin merupakan detik penting bagi diplomasi China dalam memperkukuh kerjasama pelbagai hala dan pertukaran antarabangsa.
“Sidang Kemuncak Tianjin akan membawa SCO ke fasa baharu, menggalakkan perpaduan, pembangunan, kemakmuran serta kemajuan bersama,” katanya.
Sumber Kedutaan Malaysia di Beijing mengesahkan Malaysia akan terlibat dalam Mesyuarat SCO Plus yang menjadi sebahagian daripada agenda utama sidang berkenaan.
SCO ditubuhkan pada 2001 di Shanghai oleh enam negara pengasas iaitu China, Rusia, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Tajikistan dan Uzbekistan. Keanggotaan kini bertambah kepada 10 negara selepas Pakistan, India, Iran dan Belarus menyertai, manakala Mongolia dan Afghanistan diberi status pemerhati.
Selain itu, SCO turut mempunyai 13 rakan dialog termasuk Sri Lanka, Turkiye, Mesir, Arab Saudi dan Maldives.