Thursday, 9, October, 2025
Utama Nasional RXZ Members 7.0 : PM usaha tambahan RM200,000 dengan sokongan korporat

RXZ Members 7.0 : PM usaha tambahan RM200,000 dengan sokongan korporat

oleh Ammar Haziq

KUALA NERUS: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyalurkan peruntukan tambahan berjumlah RM200,000 bagi menjayakan Program RXZ Members 7.0 yang berlangsung di Litar Permotoran Gong Badak selama dua hari.

Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin berkata, sumbangan itu bertujuan memberi galakan kepada penganjur agar terus menganjurkan aktiviti sukan permotoran yang mampu merancakkan ekonomi setempat serta mengukuhkan hubungan masyarakat.

Menurutnya, program berkenaan yang majoritinya disertai anak muda menjadi medan penting menghimpunkan peminat motosikal dari seluruh negara sekali gus memberi nilai tambah kepada pembangunan industri permotoran tempatan.

“Sebelum ini Perdana Menteri telah menyalurkan RM100,000 dan saya mewakili beliau menyampaikan tambahan RM200,000, menjadikan jumlah keseluruhan RM300,000.

“Bantuan tambahan ini diusahakan sendiri oleh Perdana Menteri dengan sokongan syarikat korporat. Harapan kita, ia mampu memberi dorongan kepada penganjur untuk meneruskan program seperti ini pada masa hadapan,” katanya selepas merasmikan acara berkenaan.

Dalam pada itu, Shamsul Iskandar menepis dakwaan kononnya kerajaan pusat menghalang penganjuran RXZ Members 7.0 yang dikaitkan dengan kerajaan negeri Terengganu.

Jelasnya, tuduhan tersebut tidak benar kerana program berkenaan dianjurkan secara persendirian tanpa sebarang pembabitan kerajaan negeri mahupun parti politik, selain sudah menjadi acara tahunan.

“Mereka (penganjur) hanya memohon pertimbangan Perdana Menteri untuk mendapatkan sokongan. Perdana Menteri melihat penganjuran ini sebagai platform meraikan kepelbagaian serta memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com