Thursday, 9, October, 2025
Utama Tech PM segan Malaysia pamer kapal perang lama di LIMA

PM segan Malaysia pamer kapal perang lama di LIMA

oleh Ammar Haziq

SEREMBAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui berasa segan apabila Malaysia terpaksa mempamerkan kapal perang lama keluaran 1976 dalam Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) berikutan ketiadaan aset baharu.

Menurutnya, keadaan itu bukan sahaja menjadi bahan sindiran antarabangsa, malah mendedahkan kelemahan dalam sistem perolehan pertahanan negara meskipun kerajaan membelanjakan jumlah besar untuk sektor tersebut.

“Atas faktor tiada kapal baharu untuk dipamerkan, kita masukkan kapal lama tahun 1976. Kecil, perlahan, tetapi semangat anak kapal saya hargai. Namun, bila lihat kapal tahun 1976, saya rasa segan. Maaf saya singgung, masa itu saya masih di Kamunting lagi.

“Sebagai negara yang pesat membangun, perolehan kita sangat lemah walaupun perbelanjaan besar. Seperti isu LCS, kapal tidak siap dan akhirnya jadi bahan jenaka bertahun-tahun,” katanya ketika merasmikan Kilang Pembuatan Kenderaan Perisai Mildef International Technologies Sdn Bhd, di sini.

Anwar menegaskan, kerajaan tidak boleh mengulangi kesilapan lalu, sebaliknya memastikan setiap perolehan pertahanan lebih telus, bersih dan bebas daripada rasuah serta komisen berlebihan.

“Sejarah perolehan kita tidak membanggakan, ia jadi ruang ejen dan syarikat kaut untung berlebihan. Amalan bobrok ini mesti dihentikan,” tegasnya.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri turut menyentuh isu integriti anggota badan risikan tentera yang didedahkan terbabit dalam penyeludupan, sambil menyifatkan ia sebagai pengkhianatan besar terhadap negara.

“Saya tidak boleh bayangkan mereka yang dilatih mempertahankan tanah air sanggup mengkhianati negara. Malaysia tidak boleh memaafkan kecurangan seperti ini,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan kini memberi keutamaan kepada rundingan perolehan secara kerajaan dengan kerajaan (G2G) untuk mengelakkan kos melambung akibat campur tangan ejen.

“Kalau rundingan Perdana Menteri dengan Presiden, kos boleh turun. Tetapi bila runding dengan ejen, kos melambung. Jadi seboleh mungkin kita buat G2G,” jelasnya.

Dalam masa sama, Anwar menyatakan sokongan kepada syarikat tempatan, Mildef, yang kini mampu menghasilkan kereta perisai sehingga menarik minat negara jiran termasuk Indonesia.

“Kita sudah capai tahap boleh masuk pasaran luar, tetapi mesti diteruskan dengan penyelidikan, tatakelola yang bersih dan hentikan penyelewengan,” katanya.

Beliau menegaskan, kerajaan tidak akan berkompromi terhadap kelemahan lama dalam industri pertahanan dan memberi jaminan perbelanjaan tambahan untuk sektor itu hanya dibuat atas dasar keperluan serta keselamatan negara.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com