Tuesday, 26, August, 2025
Utama Nasional RM100 juta tambahan untuk Gaza fokus pembangunan semula

RM100 juta tambahan untuk Gaza fokus pembangunan semula

oleh Ammar Haziq

PUTRAJAYA: Kerajaan menyalurkan peruntukan tambahan RM100 juta bagi membantu rakyat Palestin di Gaza dengan memberi penekanan kepada usaha pembangunan semula wilayah yang musnah akibat serangan berterusan rejim Israel, kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau menjelaskan, pendekatan kali ini berbeza daripada sumbangan sebelum ini yang lebih banyak berbentuk bekalan makanan, namun sering berdepan halangan kemasukan oleh pihak Zionis sehingga menyebabkan sebahagian daripadanya tidak dapat disalurkan kepada penduduk.

“Dua tahun lalu, sekitar Oktober dan November 2023, kerajaan bersama pihak swasta berjaya mengumpul sumbangan, tetapi bekalan makanan banyak terbazir kerana sekatan ketat Israel. Justeru, kali ini fokus beralih kepada pembangunan semula Gaza, dengan kerjasama rakan antarabangsa termasuk Jepun,” katanya ketika ditemui selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di sini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Arul Rajoo Durar Raj.

Fahmi menegaskan, pendirian Malaysia terhadap perjuangan Palestin kekal teguh, malah semakin diperkukuh dengan dana tambahan ini. “Sokongan kita tidak bergantung kepada apa-apa prasyarat. Malaysia tetap konsisten dalam memperjuangkan kemerdekaan Palestin,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan tambahan RM100 juta itu ketika berucap pada Malam Himpunan dan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza di Dataran Merdeka.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, komitmen ini adalah kesinambungan usaha Malaysia membela rakyat Palestin, sambil menggesa syarikat besar dan korporat turut menyalurkan bantuan serta mengambil iktibar daripada nikmat keamanan yang dikecapi.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com