Sunday, 7, September, 2025
Utama Nasional TikTok perlu selesaikan isu akaun bawah umur, umumkan mekanisme pengesahan – Fahmi

TikTok perlu selesaikan isu akaun bawah umur, umumkan mekanisme pengesahan – Fahmi

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menegaskan TikTok perlu merangka mekanisme yang berkesan bagi memastikan pengguna bawah umur tidak lagi dapat membuka akaun di platform tersebut.

Beliau berkata, semakan mendapati sistem sedia ada gagal menapis kanak-kanak bawah umur daripada mendaftar, malah ramai daripadanya aktif berinteraksi dengan kandungan yang jelas melanggar garis panduan komuniti TikTok sendiri.

“Dalam lawatan saya ke sekolah, termasuk sekolah rendah, saya dapati murid seawal Tahun Satu sudah mempunyai akaun TikTok. Sedangkan syarat yang ditetapkan TikTok sendiri melarang individu bawah 13 tahun membuka akaun,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat bersama wakil TikTok, polis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Jabatan Peguam Negara (AGC) di Bukit Aman, pada Khamis.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar dan Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.

Fahmi berkata, antara langkah yang boleh dilaksanakan termasuk penggunaan proses elektronik Know Your Customer (e-KYC) serta menghadkan akses kepada beberapa ciri seperti ruangan komen atau perkongsian video sehingga identiti pengguna disahkan.

“Negara seperti Singapura, Australia dan China sudah mengamalkan kaedah ini, di mana sesetengah fungsi akan dikunci sekiranya pengesahan tidak dibuat.

“Kita beri ruang kepada TikTok untuk memutuskan tindakan yang wajar, tetapi perkara ini mesti segera diselesaikan,” katanya.

Mesyuarat berkenaan turut diadakan susulan kerjasama TikTok dengan polis dalam beberapa kes berita palsu, termasuk video tular baru-baru ini yang menampilkan individu mendakwa dirinya pakar bedah dalam kes Zara Qairina Mahathir.

Pada masa sama, pihak berkuasa turut bimbang mengenai penyebaran kandungan tidak bermoral seperti bahan berkaitan pedofilia yang dikesan melalui Op Pedo. Operasi itu membongkar kewujudan kumpulan dalam talian termasuk “Geng Budak Sekolah” yang aktif di WhatsApp dan Facebook.

“Kami dapati ada platform yang tidak mengambil isu ini dengan serius.

“Dialog bersama mereka akan diteruskan dan kami tekankan undang-undang Malaysia tetap terpakai serta mesti dipatuhi. Semua platform akan dipanggil,” tegas Fahmi.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com