JOHOR BAHRU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi jaminan bahawa harga petrol RON95 akan diturunkan kepada RM1.99 seliter menjelang akhir bulan ini, selaras janji Kerajaan MADANI untuk meringankan beban rakyat.
Beliau berkata, langkah itu membuktikan komitmen kerajaan memastikan rakyat menikmati harga bahan api lebih rendah berbanding harga sebenar di pasaran.
“Ada yang marah sebab September sudah masuk tapi harga minyak belum turun. Saya kata sebelum akhir September. 10 September akhir bulan ke? 15 September akhir bulan ke? Tunggu sekejap. Turun atau tidak? Turun.
“Cuba beritahu saya, negara mana lagi yang beri rakyat harga serendah ini? Kita janji, kita tunaikan,” katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, harga semasa RON95 berada pada RM2.05 seliter berbanding harga tanpa subsidi yang mencecah RM2.50 hingga RM2.60 seliter.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Program Rapat Umum 27 Tahun Reformasi Peringkat Negeri Johor, di sini.
Dalam pada itu, Anwar turut menjelaskan lawatan rasmi beliau ke luar negara bukan untuk bersuka ria, sebaliknya memenuhi undangan rasmi pemimpin antarabangsa.
Katanya, perkara itu mencerminkan kedudukan Malaysia yang dipandang tinggi serta berperanan penting dalam pelbagai isu serantau dan global.
“Orang selalu kata saya banyak keluar negara. Ingat senang ke, saya pergi bercuti? Ini kerja. Saya jalan kerana dijemput pemimpin luar, bukan suka-suka,” katanya.
Sebagai contoh, beliau menerima jemputan rasmi Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani untuk menghadiri Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam pada 15 September ini bagi membincangkan situasi kritikal di Palestin, khususnya di Gaza.
Anwar menegaskan sebagai negara merdeka dan berdaulat, Malaysia perlu berani bersuara serta memainkan peranan aktif dalam arena antarabangsa.