Sunday, 14, September, 2025
Utama Nasional PM sertai Sidang Kemuncak Arab-Islam di Doha Isnin ini

PM sertai Sidang Kemuncak Arab-Islam di Doha Isnin ini

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menghadiri Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam di Doha, Qatar pada Isnin ini bagi membincangkan serangan Israel terhadap negara itu.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini memaklumkan Anwar akan diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan bersama pegawai kanan Kementerian Luar Negeri.

Sidang kemuncak itu akan menghimpunkan pemimpin dan wakil negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) serta didahului Mesyuarat Persediaan Peringkat Menteri Arab-Islam pada 14 September.

Menurut kenyataan itu, penyertaan Perdana Menteri mencerminkan sokongan penuh Malaysia terhadap Qatar selain kesinambungan usaha mempertahankan hak rakyat Palestin dan mengecam kekejaman Israel.

Anwar dijadual menyampaikan Kenyataan Negara bagi menegaskan pendirian Malaysia bahawa keamanan serantau dan global akan terus terancam sekiranya Israel terus dibiarkan mencabuli undang-undang antarabangsa, Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kedaulatan negara lain.

“Sidang kemuncak ini dijangka meluluskan satu resolusi yang menggariskan tindakan serta pendirian bersama negara anggota dalam menangani isu berkenaan,” kata kenyataan itu.

Pada Selasa lalu, Israel melancarkan serangan udara ke atas sebuah kawasan kediaman di Doha yang menempatkan pemimpin Hamas.

Serangan itu mengorbankan lima anggota Hamas serta seorang pegawai keselamatan Qatar ketika mereka sedang berbincang mengenai cadangan baharu daripada Amerika Syarikat (AS) untuk menamatkan peperangan di Gaza.

Qatar bersama AS dan Mesir sebelum ini menjadi pengantara penting dalam rundingan mencari penyelesaian konflik di Gaza.

Sidang kemuncak berkenaan dilihat sebagai platform penting untuk menyatukan pendirian negara Arab-Islam dalam mendepani cabaran keselamatan dan kemanusiaan di rantau itu.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com