BUKIT MERTAJAM: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa negara-negara Islam memperkukuh kesatuan dan kekuatan dalam menghadapi kekejaman rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin.
Beliau berkata gesaan itu turut disuarakan ketika menyampaikan Kenyataan Negara pada Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam di Doha, Qatar, sebelum pulang ke tanah air pagi tadi.
“Zionis Israel terus membunuh serta memusnahkan harta benda di Gaza dan tanah air Palestin. Saya menegaskan dunia Islam mesti kuat dari segi rumah tangga, dalaman negara, ekonomi, semangat, roh Islam, akhlak dan pertahanan masing-masing,” katanya ketika berucap pada Himpunan Pendekar MADANI di Politeknik Seberang Perai di sini, pada Selasa.
Majlis berkenaan turut dihadiri Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; serta lebih 10,000 pesilat dari seluruh negara.
Anwar menegaskan pendirian Malaysia jelas, iaitu tidak akan mengiktiraf Israel serta menolak sebarang bentuk hubungan diplomatik dan perdagangan dengan rejim itu.
“Saya nyatakan dengan jelas di hadapan raja-raja dan ketua negara Arab serta Islam bahawa kita tidak boleh menjalin hubungan diplomatik, berdagang atau berkawan dengan negara zalim yang menindas rakyat Palestin,” katanya.
Pada sidang kemuncak itu, beliau turut mendesak tindakan tegas terhadap Israel, mengecam serangan udara terbaru rejim berkenaan ke atas Doha serta pembunuhan beramai-ramai yang berterusan di Gaza.
Anwar turut menuntut supaya Konvoi Kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang sedang merentasi Laut Mediterranean membawa bekalan makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan menuju pesisir Gaza, diberikan laluan selamat untuk tiba ke wilayah terbabit.