DILI (TIMOR-LESTE): Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan lawatan rasmi bersejarah selama dua hari yang bertujuan memperkukuh hubungan dua hala serta menyokong penyertaan Timor-Leste sebagai anggota ke-11 ASEAN, yang bakal dimuktamadkan tidak lama lagi.
Pesawat khas yang membawa Anwar mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Presiden Nicolau Lobato pada jam 2.43 petang waktu tempatan (1.43 tengah hari waktu Malaysia) pada Selasa.
Mengiringi beliau dalam lawatan ini ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; selain pegawai kanan Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Luar.
Ketibaan Anwar disambut dengan istiadat penuh, termasuk pemeriksaan barisan kawalan kehormatan statik, penyampaian simbolik kain Tais – tekstil tradisional Timor-Leste sarat nilai budaya dan warisan – serta persembahan kebudayaan dan pancaragam sekolah.
Dalam satu acara unik dan penuh simbolik, Anwar dijemput menyertai Presiden Dr Jose Ramos-Horta menaiki Mini Moke, kenderaan klasik berbumbung terbuka yang sinonim dengan gaya mesra rakyat Ramos-Horta. Beliau sendiri memandu kenderaan itu dengan Anwar duduk di hadapan, manakala Perdana Menteri Timor-Leste, Kay Rala Xanana Gusmao, turut serta di bahagian belakang.
Perjalanan mereka dari lapangan terbang ke sebuah hotel berdekatan dengan Mini Moke mencerminkan keakraban hubungan tiga pemimpin berkenaan, sekali gus memberikan sentuhan budaya yang istimewa pada lawatan ini.
Kunjungan Anwar merupakan yang pertama oleh seorang Perdana Menteri Malaysia ke Timor-Leste dalam tempoh 22 tahun, mencerminkan sokongan berterusan Kuala Lumpur terhadap aspirasi republik muda itu untuk menyertai ASEAN.
Malaysia menjadi negara ASEAN pertama yang membuka kedutaan di Dili pada malam kemerdekaan Timor-Leste pada Mei 2002 dan kekal sebagai penyokong kuat penyertaan negara berpenduduk hampir 1.4 juta itu ke dalam ASEAN. Timor-Leste dijangka diterima secara rasmi pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur bulan depan.
Lawatan kali ini juga dijangka memperkukuh pelbagai kerjasama sedia ada. Lebih 1,000 warga Timor-Leste telah mendapat manfaat daripada latihan di bawah Program Kerjasama Teknikal Malaysia, manakala 55 pelajar negara itu sedang melanjutkan pengajian di Malaysia.
Hubungan ekonomi dan interaksi rakyat turut berkembang pesat, dipacu penerbangan terus Batik Air dari Kuala Lumpur ke Dili yang bermula Jun lalu, selain pengenalan kemudahan perjalanan tanpa visa 30 hari untuk rakyat Malaysia sejak Ogos.
Pada 2024, nilai perdagangan dua hala Malaysia–Timor-Leste berjumlah AS$18.72 juta (RM85.68 juta), dengan eksport Malaysia bernilai AS$18.37 juta (RM84.06 juta) dan import dari Timor-Leste AS$0.35 juta (RM1.62 juta).
Bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini sahaja, perdagangan dua hala mencecah AS$6.65 juta (RM26.88 juta), dengan lebih 200 perusahaan kecil dan sederhana Malaysia aktif di Timor-Leste dalam pelbagai sektor termasuk makanan, hospitaliti, peruncitan dan perkhidmatan automotif.