Wednesday, 1, October, 2025
Utama Nasional Anwar disambut istiadat penuh ketibaan di Istana Presiden Timor-Leste

Anwar disambut istiadat penuh ketibaan di Istana Presiden Timor-Leste

oleh Ammar Haziq

DILI (TIMOR-LESTE): Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menerima sambutan penuh istiadat di Istana Presiden di sini petang tadi, menandakan permulaan rasmi lawatan bersejarah beliau ke Timor-Leste selama dua hari.

Upacara ketibaan yang berlangsung pada 4.10 petang waktu tempatan dipimpin Presiden Dr Jose Ramos-Horta, menyaksikan lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan, diiringi 19 das tembakan meriam sebagai penghormatan.

Anwar kemudian memeriksa barisan kawalan kehormatan dan menandatangani Buku Pelawat sebelum mengadakan pertemuan empat mata dengan Ramos-Horta. Sesi itu disusuli sidang media bersama kedua-dua pemimpin.

Turut hadir pada majlis rasmi itu ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; serta Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin.

Selepas acara di Istana Presiden, Anwar dijadual menghadiri Mesyuarat Pra-Majlis sebelum menyertai Majlis Temu Mesra MADANI bersama diaspora Malaysia serta alumni Program Kerjasama Teknikal Malaysia dan Program Kerjasama Pertahanan Malaysia di sebuah hotel di sini.

Hari pertama lawatan rasmi beliau akan ditutup dengan jamuan makan malam negara di Dewan Serbaguna GMN, yang dihoskan bersama oleh Ramos-Horta dan Perdana Menteri Timor-Leste, Kay Rala Xanana Gusmao.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com