Wednesday, 1, October, 2025
Utama Nasional Anwar terima anugerah tertinggi Timor-Leste

Anwar terima anugerah tertinggi Timor-Leste

oleh Ammar Haziq

DILI (TIMOR-LESTE): Presiden Timor-Leste, Dr Jose Ramos-Horta, menyifatkan lawatan rasmi dua hari Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai bukti hubungan erat dan persahabatan utuh antara kedua-dua negara, selain mengimbau kembali sokongan Malaysia terhadap perjuangan kemerdekaan Timor-Leste.

Dalam sidang media bersama di Istana Presiden, Ramos-Horta berkata pertemuan beliau dengan Anwar berlangsung dalam suasana mesra serta membincangkan pelbagai kerjasama masa depan, termasuk pelaburan Malaysia dalam sektor pertanian, pelancongan, tenaga boleh diperbaharui, pendidikan dan latihan vokasional untuk belia Timor-Leste.

Sebagai penghargaan atas peranan Malaysia, Ramos-Horta mengumumkan Anwar akan dikurniakan Grand Collar of the Order of Timor-Leste, anugerah tertinggi negara itu, khususnya mengiktiraf sumbangan Malaysia dalam menyokong aspirasi Timor-Leste menyertai ASEAN di bawah pengerusian Malaysia pada 2025.

“Anugerah ini mencerminkan penghormatan kepada komitmen peribadi beliau dan sokongan penting Malaysia. Timor-Leste dan Malaysia bukan sekadar berjiran, tetapi rakan kongsi dalam membina Asia Tenggara yang bersatu serta makmur,” katanya.

Sementara itu, Anwar yang menyifatkan kunjungan tersebut bukan sahaja rasmi tetapi juga peribadi, menegaskan ia penting dalam menonjolkan sejarah bersama kedua-dua negara serta konsistensi sokongan Malaysia sejak sebelum kemerdekaan Timor-Leste.

Beliau turut menekankan kepentingan memperkukuh kerjasama dalam perdagangan, pelaburan, pelancongan, pendidikan dan pertahanan, selain mengalu-alukan penglibatan Petronas serta syarikat swasta Malaysia dalam ekonomi Timor-Leste.

“Kemasukan anda (Timor-Leste) ke ASEAN hanya menunggu masa. Malaysia amat menantikan untuk meraikan penyertaan rasmi anda pada Sidang Kemuncak ASEAN bulan depan,” katanya.

Timor-Leste dijangka diterima secara rasmi sebagai anggota ke-11 ASEAN pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur, Oktober depan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com