KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Mufti Besar Arab Saudi, Sheikh Abdulaziz bin Abdullah Al-Sheikh, yang meninggal dunia pada 23 September lalu.
Dalam kenyataannya, Anwar menyifatkan kematian Sheikh Abdulaziz sebagai satu kehilangan besar kepada dunia Islam, khususnya kerana jasa dan sumbangan beliau yang luas dalam bidang ilmu, fatwa serta bimbingan keagamaan.
“Dunia Islam kehilangan seorang ulama besar yang sarat dengan ilmu dan hikmah, serta telah banyak berjasa kepada umat Islam seluruhnya,” katanya.
Bagi pihak rakyat Malaysia, Perdana Menteri turut menyampaikan ucapan takziah dan simpati kepada seluruh warga Arab Saudi serta umat Islam di seluruh dunia yang pastinya merasai kehilangan tokoh berwibawa itu.
Anwar turut berdoa agar Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan menempatkannya dalam kalangan para nabi serta orang-orang yang soleh.
Sheikh Abdulaziz yang dilahirkan pada 30 November 1943, telah dilantik sebagai Mufti Besar Arab Saudi pada tahun 1999, dan sepanjang lebih dua dekad memainkan peranan penting dalam menyampaikan panduan agama serta fatwa kepada umat Islam di peringkat antarabangsa.