Wednesday, 1, October, 2025
Utama Nasional Anwar tegas tiada kompromi terhadap rasuah

Anwar tegas tiada kompromi terhadap rasuah

oleh Ammar Haziq

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pendiriannya untuk tidak berkompromi terhadap sebarang salah laku rasuah, tanpa mengira kedudukan atau pangkat individu yang terlibat.

Beliau berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berperanan penuh untuk menjalankan siasatan sekiranya terdapat dakwaan, tanpa campur tangan mana-mana pihak termasuk dirinya.

“Kalau ada bukti rasuah, SPRM mesti bertindak. Tidak kira kamu Tan Sri, menteri, ADUN, di Semenanjung atau Sabah, kalau ada kes, SPRM siasat dan jika salah, hukum penjara,” katanya ketika berucap pada Himpunan Tamu Rapat Umum sempena 27 Tahun Reformasi PKR di sini.

Anwar turut menegaskan, beliau bukan pihak yang menjalankan siasatan atau menjatuhkan hukuman, sebaliknya semua proses itu mesti dilakukan mengikut undang-undang.

“Ada yang kata ada orang tidak disiasat, itu bukan kerja saya. Saya bukan penyiasat, saya bukan hakim. Kalau ada campur tangan, itu namanya diktator,” katanya.

Perdana Menteri tiba kira-kira jam 3.30 petang dengan diiringi Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Ketua PKR Sabah yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud.

Mengulas isu semasa, Anwar menyentuh dakwaan rasuah membabitkan seorang pemimpin Sabah baru-baru ini, yang menurutnya sudah dimaklumkan SPRM untuk disiasat.

“Baru sahaja keluar berita mengenai seorang pemimpin Sabah, terus SPRM jawab mereka akan siasat. Ini cara kita,” katanya tanpa menamakan individu terbabit.

Terdahulu, sebuah portal melaporkan rakaman video perbualan antara seorang ahli perniagaan dengan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berhubung dakwaan rasuah dalam urusan lesen cari gali mineral.

Dr Jeffrey disahkan sudah dipanggil SPRM semalam dipercayai untuk memberi keterangan berhubung video berkenaan.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan hasil ketegasan SPRM, kerajaan berjaya mendapatkan semula berbilion ringgit wang rakyat yang sebelum ini diseleweng.

“Berbilion ringgit wang rakyat yang dicuri sudah kita ambil balik. Saya pernah dipenjara, dipukul, dimalukan, itu saya boleh maafkan. Tetapi wang rakyat saya tidak ada kuasa untuk maafkan. Kita rampas balik wang itu untuk diserahkan semula kepada rakyat,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com