KOTA KINABALU: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan hubungan baik antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sabah perlu terus diperkukuh selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang bagi memastikan pembangunan negeri dapat dipercepatkan.
Menurutnya, kerjasama yang erat penting supaya pelbagai projek pembangunan termasuk infrastruktur jalan raya, prasarana sekolah dan hospital dapat dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat.
“Hubungan kerajaan Persekutuan dan negeri mesti baik supaya lebih banyak projek pembangunan dapat dilaksanakan untuk faedah rakyat. Apabila ada kuasa, kita mesti lakukan sebaik mungkin untuk negara dan rakyat,” katanya ketika berucap pada Program Rapat Umum dan Himpunan Keadilan bersempena 27 Tahun Reformasi di Dewan Pisompuruan, Kampung Kobuni, Inanam.
Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil yang juga Ketua Penerangan PKR, serta Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud merangkap Pengerusi PKR Sabah.
Anwar berkata, beliau sentiasa memberi perhatian kepada Sabah dan Sarawak bukan hanya dari segi kebajikan rakyat, malah usaha menunaikan tuntutan termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Katanya, banyak perkara di bawah MA63 sudah direalisasikan termasuk beberapa lagi yang sedang dibincangkan selepas Kerajaan MADANI menerajui pentadbiran Persekutuan.
“Dalam mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 di Kuching baru-baru ini, saya meluluskan penambahan kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak. Perkara ini dibincangkan sejak berpuluh tahun lalu, akhirnya dapat direalisasikan ketika saya menjadi Perdana Menteri,” katanya.
Dalam masa sama, beliau berkata Sabah bakal menerima berita gembira dalam pembentangan Belanjawan 2026 pada 10 Oktober depan.
“Walaupun saya anak Pulau Pinang, peruntukan untuk Sabah adalah tertinggi. Ia bertujuan menyelesaikan projek pembangunan tertangguh termasuk air, elektrik dan jalan raya,” katanya yang juga Menteri Kewangan.
Anwar turut menegaskan, hubungan erat kerajaan Persekutuan dengan negeri penting bagi memastikan agenda membasmi kemiskinan rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Dalam pada itu, beliau yakin Pakatan Harapan (PH) bakal menjadi penentu pembentukan kerajaan negeri Sabah selepas PRN meskipun jumlah kerusi ditandingi gabungan itu tidak banyak.