SANDAKAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat supaya tidak memilih pemimpin yang merosakkan negara dan menanam bibit kebencian sesama rakyat, sebaliknya memastikan kepimpinan negara diurus dengan amanah serta tatakelola yang baik.
Beliau berkata, rakyat perlu menolak budaya pemimpin yang mengaut keuntungan apabila berkuasa dan sebaliknya memilih mereka yang sentiasa menjaga kepentingan rakyat.
“Kita banyak mendengar tentang pemimpin yang mencuri sana, mencuri sini. Budaya sebegitu mesti dihentikan. Kita perlu tindakan yang tegas.
“Kadang-kadang mereka sendiri pernah jadi pemimpin yang kaya, membolot projek besar tetapi tetap marah pada orang lain. Tidak boleh begitu. Mesti ada kesungguhan untuk membetulkan keadaan,” katanya pada Majlis Jelajah Wira MADANI dan Sambutan Ulang Tahun ke-20 Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Kompleks APMM Zon Maritim Sandakan, pada Sabtu.
Hadir sama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah.
Anwar menegaskan, dalam soal pertahanan dan keselamatan, kerajaan tidak boleh berkompromi dengan ketirisan, keborosan serta rasuah kerana ia boleh melemahkan negara walaupun perbelanjaan pertahanan mencecah berbilion ringgit.
“Ketirisan, keborosan, rasuah mesti dihalang. Kalau tidak, sehebat mana pun negara, ia akan jatuh. Kalau yang diamanahkan itu kerjanya pecah amanah, negara akan rosak,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memuji prestasi APMM yang semakin baik selepas kerajaan menambah peruntukan kepada agensi berkenaan.
Katanya, keluasan perairan negara memerlukan aspek keselamatan serta aset pertahanan yang sentiasa bersedia dan lengkap.
“Negara ini aman tetapi kita berdepan dengan masalah penyeludupan manusia, senjata, dadah dan juga pencerobohan. Semua ini memerlukan satu angkatan yang disiplin dan berkelengkapan baik.
“Malaysia ini aman hasil daripada sumbangan dan pengorbanan pasukan keselamatan, termasuklah APMM. Sebab itu kita harus sentiasa memastikan kelengkapan dan disiplin mereka terjaga,” katanya.