Wednesday, 1, October, 2025
Utama Nasional BUDI95 berjalan lancar untuk polis, ATM

BUDI95 berjalan lancar untuk polis, ATM

oleh Ammar Haziq

SANDAKAN: Pelaksanaan inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) bagi kumpulan pertama membabitkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjalan lancar tanpa sebarang masalah setakat semalam.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, hari pertama pelaksanaan turut menjadi ujian tekanan terhadap sistem dan stesen minyak yang telah membuat persediaan menjelang penggunaan lebih meluas pada Selasa ini.

“Kita boleh anggap ini sebagai proses menilai keupayaan sistem supaya tidak ada sebarang gangguan. Kita akan lihat lagi nanti kerana penggunaan lebih besar adalah dalam kalangan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR),” katanya ketika meninjau pelaksanaan BUDI95 di sebuah stesen minyak di Jalan Bokara, di sini.

Kira-kira 300,000 anggota polis dan tentera menikmati subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99 berbanding harga pasaran RM2.05 seliter sejak ia dilaksanakan tengah malam tadi.

Selepas kumpulan beruniform itu, penerima STR daripada golongan B40 akan mula menikmatinya pada 28 September, sebelum diperluas kepada 16 juta warganegara Malaysia berusia 16 tahun ke atas yang memiliki MyKad serta lesen memandu aktif bermula 30 September ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Saifuddin memaklumkan sebanyak 13,632 MyKad rosak telah diganti dalam tempoh lima hari lalu, menunjukkan kesedaran masyarakat semakin meningkat mengenai keperluan menggunakan kad pengenalan berfungsi untuk pelaksanaan BUDI95.

Sementara itu, mengenai tindakan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan negara, beliau menegaskan pemberian kewarganegaraan adalah proses teliti yang dibuat mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 19(1) berkaitan naturalisasi.

Katanya, permohonan hanya boleh dibuat jika pemohon mempunyai salasiah keturunan yang sebelum ini berasal dari Malaysia.

FIFA sebelum ini menjatuhkan hukuman selepas mendapati FAM menyerahkan dokumen palsu dalam urusan kesahihan kelayakan pemain bagi membolehkan mereka diturunkan dalam perlawanan rasmi.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com