Wednesday, 1, October, 2025
Utama Nasional BUDI95 catat RM3.7 juta pembelian petrol dalam tempoh 24 jam

BUDI95 catat RM3.7 juta pembelian petrol dalam tempoh 24 jam

oleh Ammar Haziq

LABUAN: Inisiatif subsidi bersasar BUDI MADANI RON95 (BUDI95) mencatatkan transaksi pembelian petrol bernilai RM3.7 juta setakat tengah hari Ahad, selepas sehari dilaksanakan di seluruh negara.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Amir Hamzah Azizan berkata, angka itu melibatkan lebih 90,000 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menjadi kumpulan terawal menikmati manfaat subsidi berkenaan daripada kira-kira 300,000 penerima yang layak.

Beliau berkata, bermula Ahad, skim tersebut diperluas kepada lebih lima juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kategori B40 sebelum pelaksanaan penuh pada 30 September yang dijangka melibatkan seramai 16 juta rakyat Malaysia dengan MyKad dan lesen memandu sah.

“Setakat jam 12 tengah hari, lebih 200,000 penerima STR sudah menggunakan kemudahan ini. Nilai keseluruhan pembelian masih dalam proses pengumpulan,” katanya selepas meninjau stesen minyak Petronas di Jalan Pohon Batu, Labuan.

Menurut Amir Hamzah, tinjauan di lapangan menunjukkan pelaksanaan BUDI95 berjalan lancar, dengan sistem pengesahan MyKad di terminal pam minyak berfungsi baik dan stabil.

Namun, katanya terdapat sedikit aduan teknikal seperti lesen memandu yang tidak aktif, cip MyKad rosak atau penggunaan nombor pengenalan lama, tetapi kebanyakannya dapat ditangani segera.

“JPJ dan JPN turut memberi kerjasama rapat dalam memastikan sebarang masalah teknikal dapat diselesaikan,” katanya.

Beliau menegaskan, BUDI95 mampu mengurangkan ketirisan subsidi selain memastikan manfaat sampai terus kepada rakyat yang layak.

“Lebih penting, sistem ini meletakkan nilai tambah kepada pemilikan MyKad sebagai bukti keistimewaan warganegara Malaysia,” ujarnya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com