Wednesday, 1, October, 2025
Utama Nasional Kerajaan belum bercadang kenakan caj masuk bandar, utamakan keselesaan rakyat

Kerajaan belum bercadang kenakan caj masuk bandar, utamakan keselesaan rakyat

oleh Ammar Haziq

GOMBAK: Kerajaan menegaskan tidak berhasrat untuk melaksanakan sebarang caj kemasukan ke bandar bagi kenderaan persendirian pada masa ini kerana ia dikhuatiri menambah beban kepada rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan itu hanya akan dipertimbangkan apabila sistem pengangkutan awam negara benar-benar berada pada tahap menyeluruh dan berkesan.

“Memang ada negara lain kenakan caj untuk masuk ke pusat bandar, tetapi kerajaan tidak bercadang melaksanakannya sekarang kerana ia boleh membebankan rakyat.

“Apabila kemudahan awam sudah lengkap, selesa dan menyeluruh, barulah wajar difikirkan semula,” katanya ketika merasmikan Terminal Bersepadu Gombak (TBG).

Beliau turut menjelaskan cadangan caj tersebut pernah diperkenalkan sekitar tahun 1990-an, namun gagal mencapai matlamat berikutan perkhidmatan bas ketika itu tidak memuaskan dan menyebabkan kesesakan berlarutan.

“Dulu orang terpaksa beratur panjang dalam panas, bas pula sesak dan laluan tidak selesa. Tetapi sekarang banyak perubahan, pengangkutan awam lebih teratur,” katanya.

Terdahulu pada Februari lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa memaklumkan kerajaan sedang mengkaji pelaksanaan caj kesesakan dalam Pelan Induk Trafik Kuala Lumpur 2040, dengan jangkaan dapat mengurangkan trafik di ibu negara sehingga 20 peratus.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com