Tuesday, 7, October, 2025
Utama Nasional NADMA terus jadi benteng negara hadapi bencana

NADMA terus jadi benteng negara hadapi bencana

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan harapan agar Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) terus memperkukuh peranan sebagai benteng utama negara dalam mendepani sebarang krisis dan bencana pada masa hadapan.

Beliau berkata, ulang tahun ke-10 penubuhan NADMA bukan sekadar tanda kejayaan, sebaliknya menandakan permulaan baharu untuk agensi itu meningkatkan kesiapsiagaan, mengoptimumkan teknologi dan memperluaskan kerjasama strategik.

“Sepanjang sedekad lalu, NADMA berada di barisan hadapan setiap kali bencana melanda, termasuk banjir, tanah runtuh, jerebu hingga ke krisis pandemik. Setiap cabaran membuktikan komitmen NADMA melindungi nyawa, harta benda dan kesejahteraan rakyat,” kata Anwar dalam ucapan video yang dimuat naik ke media sosial.

Menurutnya, kerajaan dan rakyat menghargai pengorbanan warga NADMA yang sentiasa bersedia berkhidmat ketika negara berdepan detik sukar.

NADMA ditubuhkan hasil keputusan Jemaah Menteri selepas banjir besar Monsun Timur Laut 2014/2015, bagi mengambil alih peranan pengurusan bencana daripada Majlis Keselamatan Negara.

Kini selepas satu dekad, agensi itu dilihat semakin matang dalam mengurus bencana di peringkat nasional, serantau dan antarabangsa, seiring hasrat mewujudkan Malaysia yang lebih selamat, berdaya tahan dan sejahtera.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com