PUTRAJAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini beroperasi dengan kebebasan yang jauh lebih besar berbanding ketika awal penubuhannya sebagai Badan Pencegah Rasuah (BPR).
Beliau mendedahkan, pada era penubuhan dahulu, wujud peruntukan undang-undang yang dianggap terlalu radikal kerana membenarkan siasatan terhadap penjawat awam atau menteri walaupun selepas bersara, namun cadangan itu pernah ditentang oleh sebahagian Jemaah Menteri.
“Dulu ada peruntukan yang membolehkan siasatan dilakukan lima atau sepuluh tahun selepas seseorang meninggalkan jawatan. Tetapi ketika itu, ada pihak yang membantah hingga saya diarahkan supaya mengkaji semula cadangan berkenaan,” katanya ketika berucap di Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-58 SPRM serta Peluncuran Keep Malaysia Clean di Putrajaya, pada Rabu.
Anwar menegaskan keadaan sudah berubah, dengan Kerajaan MADANI memberi sokongan penuh dan mandat jelas agar SPRM melaksanakan tanggungjawabnya tanpa sebarang gangguan politik.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa di bawah pimpinan Tan Sri Azam Baki, SPRM mampu menjadi tonggak penting dalam usaha menjadikan Malaysia contoh negara yang tegas membanteras rasuah.
“Kalau kita mahu mengangkat martabat Malaysia sebagai negara hebat, seluruh kekuatan – tekad politik, jentera kerajaan dan penguatkuasaan – mesti digembleng. Kebersihan dalam pentadbiran adalah kunci menyelamatkan negara,” katanya.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, barisan menteri serta pegawai kanan kerajaan.