KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan sedang menggunakan pelbagai saluran diplomatik untuk mendesak pembebasan segera sukarelawan Malaysia serta aktivis antarabangsa yang ditahan tentera Israel ketika menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF).
Menurutnya, usaha itu melibatkan perhubungan dengan pihak berkepentingan serantau dan antarabangsa, selain memberi jaminan bahawa perkembangan proses pembebasan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
“Kepada ahli keluarga semua aktivis dan sukarelawan, semoga terus diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi detik mencabar ini. Marilah kita bersama-sama memanjatkan doa agar semua tahanan, khususnya warga Malaysia, berada dalam keadaan selamat dan terpelihara,” katanya dalam hantaran di akaun media sosial pada Khamis.
Perdana Menteri turut berkongsi rakaman perbualan dengan Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby, yang memaklumkan perkembangan terkini berhubung misi berkenaan.
Secara keseluruhan, sebanyak 10 kapal membawa 23 rakyat Malaysia menyertai misi GSF menuju ke Gaza.
Setakat jam 7.50 pagi tadi waktu Malaysia, seramai 12 rakyat Malaysia disahkan ditahan tentera Israel selepas kapal mereka dipintas ketika memasuki zon merah R3, kira-kira 100 batu nautika dari Gaza.
Kerajaan Malaysia menegaskan komitmen untuk terus mendesak pembebasan semua tahanan dan menuntut Israel membenarkan penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza tanpa sebarang halangan.