Tuesday, 7, October, 2025
Utama Nasional Usaha gigih bebaskan aktivis, sukarelawan Malaysia sedang dilakukan

Usaha gigih bebaskan aktivis, sukarelawan Malaysia sedang dilakukan

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan segala daya dan upaya sedang digembleng bagi memastikan aktivis serta sukarelawan Malaysia yang ditahan tentera Israel dibebaskan segera tanpa sebarang kompromi.

Anwar yang juga Penaung Utama Misi Kemanusiaan Sumud Nusantara berkata, beliau berhubung dengan Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Datuk Sani Araby pagi ini bagi mendapatkan perkembangan terkini usaha membawa pulang delegasi Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF).

“Saya turut menitipkan salam kepada keluarga delegasi Malaysia, selain meminta agar keadaan kesihatan dan kebajikan mereka sentiasa diberi perhatian sepenuhnya,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.

Beliau menegaskan komitmen kerajaan adalah jelas iaitu memastikan keselamatan dan kebebasan semua aktivis serta sukarelawan Malaysia terbabit sentiasa menjadi keutamaan.

Misi GSF yang disertai wakil dari pelbagai negara termasuk Malaysia dilaporkan ditahan tentera Israel ketika dalam perjalanan membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza baru-baru ini.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com