Tuesday, 7, October, 2025
Utama Nasional 11 kapal antarabangsa cabar sekatan, teruskan pelayaran

11 kapal antarabangsa cabar sekatan, teruskan pelayaran

oleh Ammar Haziq

ISTANBUL: Sebanyak 11 kapal antarabangsa kini belayar menuju Semenanjung Gaza dalam usaha mencabar sekatan berpanjangan Israel yang telah menjerut kehidupan hampir 2.4 juta penduduk Palestin sejak hampir dua dekad lalu.

Menurut kenyataan Freedom Flotilla Coalition (FFC), dua bot dengan bendera Itali dan Perancis bertolak dari Otranto, Itali pada 25 September sebelum disertai kapal Conscience pada 30 September.

Kapal-kapal tersebut dijangka menyertai konvoi lapan bot lain yang dikenali sebagai “Thousand Madleens to Gaza” dalam tempoh beberapa jam, membentuk flotila 11 kapal membawa kira-kira 100 aktivis dari pelbagai negara.

Setakat ini, kapal berkenaan dilaporkan berada di perairan Crete dan meneruskan perjalanan ke Gaza.

Konvoi baharu ini berlepas hanya sehari selepas tentera laut Israel menyerang serta merampas 42 bot yang menyertai misi sama, selain menahan lebih 450 aktivis antarabangsa.

Sejak ditubuhkan pada 2008, FFC telah menganjurkan puluhan misi kemanusiaan ke Gaza bagi menghantar bekalan serta menarik perhatian dunia terhadap krisis kemanusiaan akibat kepungan rejim Zionis.

Israel sebelum ini berulang kali menyerang dan menahan kapal yang cuba menembusi sekatan, malah memperketatkan kawalan pada Mac lalu dengan menutup lintasan sempadan serta menyekat penghantaran makanan dan ubat-ubatan, sehingga mencetuskan kebuluran besar-besaran di Gaza.

Data terbaharu menunjukkan lebih 66,200 nyawa terkorban akibat serangan berterusan Israel sejak Oktober 2023, majoritinya wanita dan kanak-kanak.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta badan hak asasi antarabangsa turut memberi amaran bahawa Gaza kini berada di ambang kemusnahan total dengan kebuluran dan penyakit semakin merebak.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com