KUALA LUMPUR: Enam persatuan pemandu e-hailing dan p-hailing menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan pengumuman mengenai penambahan had kelayakan BUDI MADANI RON95 (BUDI95) yang diumumkan baru-baru ini.
Dalam kenyataan bersama, Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia; Persatuan Perpaduan Rakan Penghantar Malaysia; Persatuan Penghantar dan Penghantar E-Hailing Sabah; Persatuan Rakan Penghantar Melaka; Persatuan Kebajikan Perkhidmatan Penghantar Bermotosikal Perak; serta Persatuan Rakan Penghantar Kedah menyatakan keputusan itu memberi kelegaan besar kepada ahli mereka.
Menurut mereka, pengumuman Kementerian Kewangan mengenai had tambahan pada 1 Oktober lalu menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan penggiat industri kerana jumlah liter tambahan belum dimuktamadkan.
Mereka menyifatkan pengiktirafan kerajaan terhadap peranan pemandu dan penghantar e-hailing sebagai sebahagian penting sistem pengangkutan awam negara menjadi suntikan semangat baharu buat penggiat industri.
Persatuan itu berharap had tambahan dapat ditetapkan pada jumlah bersesuaian, dengan cadangan sekurang-kurangnya 1,000 liter tambahan sebulan bagi mereka yang beroperasi sepenuh masa di bandar utama seperti Kuala Lumpur dan Selangor.
“Kekurangan had tambahan ini boleh memberi kesan langsung kepada kos operasi sekali gus membebankan pengguna perkhidmatan e-hailing,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, mereka turut merayu agar inisiatif BUDI95 diperluaskan kepada penghantar p-hailing memandangkan sebahagian mereka menggunakan kenderaan empat roda seperti kereta, van dan pacuan empat roda untuk menghantar barangan, bukan sekadar motosikal.
Persatuan berkenaan turut menghargai inisiatif Grab yang mengemukakan isu berkenaan dalam pertemuan bersama Perdana Menteri, yang disifatkan penting untuk memastikan suara industri didengari.
Mereka menegaskan, sebarang kekangan dalam penyaluran subsidi bahan api boleh memberi kesan rantaian kepada rakyat, termasuk risiko kenaikan tambang serta pengurangan akses kepada pengangkutan mampu milik.
Terdahulu, Anwar menerima kunjungan hormat Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Grab Holdings, Anthony Tan, di mana pelaksanaan BUDI95 turut menjadi antara topik perbincangan.