SEPANG: Semua 23 aktivis Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) kini selamat mendarat di Istanbul, Turkiye malam tadi selepas dibebaskan daripada tahanan rejim Israel.
Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim berkata, kumpulan itu akan bermalam di Istanbul sebelum berlepas pulang ke tanah air melalui penerbangan Turkish Airlines yang ditaja sepenuhnya oleh Kerajaan Turkiye.
“SNCC telah dihubungi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim petang tadi yang memaklumkan proses rundingan pembebasan berjaya diselesaikan dengan bantuan Kerajaan Turkiye, khususnya Presiden Recep Tayyip Erdogan serta Setiausaha Kerajaan Amerika Syarikat,” katanya pada sidang media di sini malam tadi.
Beliau berkata, semua 23 delegasi Malaysia berlepas dari Lapangan Terbang Ramon, Israel pada jam 6.45 petang waktu Malaysia sebelum tiba di Istanbul sekitar 8.40 malam.
“Setibanya di Istanbul, semua mereka diuruskan oleh Kedutaan Besar Malaysia di Ankara, Wisma Putra serta dibantu sepenuhnya oleh pihak berkuasa Turkiye,” tambahnya.
Menurut Sani, kesemua aktivis berada dalam keadaan baik dan akan melalui pemeriksaan kesihatan serta sesi sokongan emosi sebelum dibawa pulang ke Kuala Lumpur.
“Insya-Allah, mereka dijadualkan pulang ke tanah air selepas semua urusan pemeriksaan dan dokumentasi selesai. Kerajaan Turkiye amat prihatin, malah menanggung sepenuhnya kos penerbangan serta penginapan aktivis kita,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri dan Presiden Erdogan atas keprihatinan tinggi mereka dalam memastikan keselamatan rakyat Malaysia.
“Kita sangat menghargai hubungan baik antara Malaysia dan Turkiye yang membolehkan urusan pembebasan berjalan lancar. Ini satu kemenangan besar hasil diplomasi dan doa rakyat Malaysia,” katanya.
Sebelum ini, kesemua aktivis ditahan tentera Israel selepas kapal GSF yang membawa bantuan kemanusiaan cuba menembusi sekatan ke Gaza.
Misi berkenaan disertai sukarelawan dari pelbagai negara termasuk Malaysia, Turkiye, Indonesia, Sepanyol dan Afrika Selatan bagi menghantar bekalan makanan serta ubat-ubatan ke wilayah terkepung itu.
Antara aktivis Malaysia dalam misi tersebut termasuk Heliza Helmi, Zizi Kirana, PU Rahmat, Ardell Aryana dan Farah Lee.
Pembebasan mereka disambut dengan penuh rasa syukur oleh rakyat Malaysia, yang sejak awal mengikuti perkembangan misi berkenaan dengan penuh debaran.
Sani menambah, SNCC akan terus berhubung rapat dengan Wisma Putra bagi memastikan proses kepulangan mereka berjalan lancar dan selamat.
“Doa rakyat Malaysia sangat besar ertinya kepada mereka yang berjuang di lapangan. Kita akan terus bersama Gaza, dengan semangat Sumud yang tidak pernah luntur,” katanya.