KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan kesyukuran selepas kesemua 23 aktivis Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) selamat dibebaskan dan tiba di Istanbul, Turkiye malam tadi waktu Malaysia.
Beliau menyifatkan pembebasan itu sebagai kejayaan besar hasil doa rakyat serta usaha berterusan pelbagai pihak termasuk bantuan sahabat karibnya, Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.
“Alhamdulillah, semua wira dan wirawati Malaysia dalam Global Sumud Flotilla telah bebas dan selamat tiba di bumi Istanbul malam ini waktu Malaysia. Terima kasih kepada sahabat karib saya, Presiden Erdogan dan rakan pimpinan negara-negara sahabat lain yang membantu memudahkan urusan pembebasan setiap aktivis dan sukarelawan anak Malaysia ini,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Menurut Anwar, kejayaan ini tidak akan tercapai tanpa koordinasi diplomatik dan komitmen semua pihak termasuk kerajaan Turkiye, Qatar, Jordan dan Amerika Syarikat yang memainkan peranan penting dalam proses rundingan.
Perdana Menteri berkata, beliau secara peribadi berhubung dengan beberapa pemimpin dunia bagi memastikan keselamatan rakyat Malaysia yang ditahan tentera Israel terjamin serta dapat dibebaskan segera.
“Ini hasil usaha diplomatik yang intensif dan hubungan baik antara Malaysia dan Turkiye yang sudah lama terjalin. Saya amat menghargai keprihatinan Presiden Erdogan yang bertindak pantas membantu rakyat Malaysia dalam situasi getir ini,” katanya.
Pesawat membawa kumpulan aktivis itu berlepas dari Lapangan Terbang Ramon, Israel pada jam 6.45 petang waktu Malaysia dan tiba di Istanbul sekitar 8.40 malam.
Kerajaan Turkiye turut menanggung sepenuhnya penerbangan serta penginapan mereka sepanjang berada di Istanbul sebelum dijadual pulang ke tanah air pada Isnin ini.
Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Luar Negeri, Sumud Nusantara Command Center (SNCC) serta keluarga aktivis yang sabar menanti kepulangan insan tersayang.
“Ini bukan sahaja kemenangan diplomasi Malaysia, tetapi kemenangan kemanusiaan. Ia menunjukkan perpaduan rakyat Malaysia dalam menentang kezaliman serta mendukung perjuangan rakyat Palestin,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa Malaysia akan terus konsisten memperjuangkan isu Palestin di pentas antarabangsa dan tidak akan berdiam diri terhadap kezaliman yang berlaku di Gaza.
“Malaysia akan terus berdiri teguh bersama rakyat Palestin. Pembebasan ini memberi kekuatan baharu untuk kita meneruskan usaha menegakkan keadilan dan kemanusiaan sejagat,” ujar Anwar.
Terdahulu, kesemua 23 aktivis Malaysia ditahan tentera Israel ketika kapal GSF yang membawa bantuan kemanusiaan cuba menembusi sekatan ke Gaza minggu lalu.
Antara mereka ialah penyanyi Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah; personaliti media sosial Farah Lee; penyanyi Zizi Kirana; pelakon Ardell Aryana; serta pendakwah PU Rahmat.
Mereka disifatkan sebagai wira dan wirawati negara atas keberanian menyertai misi berisiko tinggi demi menyalurkan bantuan kepada rakyat Gaza yang terperangkap dalam kepungan rejim Zionis.
Pembebasan kesemua aktivis Malaysia ini bukan sahaja disambut penuh syukur oleh keluarga mereka, malah menjadi bukti nyata kekuatan hubungan diplomatik Malaysia–Turkiye di bawah kepimpinan Anwar Ibrahim.
“Semoga mereka semua kembali ke tanah air dengan selamat dan terus menjadi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk memperjuangkan keamanan dan keadilan buat Palestin,” kata Perdana Menteri.