Tuesday, 7, October, 2025
Utama Nasional Kepimpinan Anwar, hubungan erat Malaysia –Turkiye bantu bebaskan aktivis GSF : Penganalisis

Kepimpinan Anwar, hubungan erat Malaysia –Turkiye bantu bebaskan aktivis GSF : Penganalisis

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Usaha diplomasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan hubungan erat Malaysia–Turkiye terbukti apabila kesemua 23 aktivis negara yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) berjaya dibebaskan daripada tahanan rejim Zionis dan kini selamat berada di Istanbul.

Mereka yang ditahan sejak Khamis lalu berlepas dari Lapangan Terbang Ramon, Israel, pada jam 6.45 petang waktu Malaysia dan tiba di Istanbul sekitar 8.40 malam, menggunakan pesawat komersial Turkish Airlines yang diurus serta ditaja sepenuhnya oleh kerajaan Turkiye.

Kerajaan Turkiye turut menanggung penginapan semua delegasi Malaysia sebelum kumpulan itu dijadual pulang ke tanah air pada Isnin.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Sivamurugan Pandian berkata, pembebasan itu membuktikan kecekapan dan ketegasan kepimpinan Anwar dalam melindungi rakyat serta memperjuangkan isu kemanusiaan sejagat.

“Perdana Menteri bukan sahaja menunjukkan keprihatinan terhadap keselamatan warganegara, tetapi juga mengangkat suara Malaysia sebagai negara yang konsisten menentang kezaliman Zionis dan mempertahankan hak rakyat Palestin,” katanya.

Menurut beliau, langkah pantas dan koordinasi diplomatik pelbagai pihak menunjukkan keupayaan Anwar menggerakkan hubungan antarabangsa dengan berkesan, termasuk menerusi saluran Turkiye, Qatar, Jordan dan Amerika Syarikat.

Dalam siaran langsung di Facebook pada Sabtu, Anwar menjelaskan proses pembebasan itu dilakukan melalui perbincangan intensif antara Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio, serta kerajaan Jordan.

Turut terlibat ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, yang berhubung secara langsung dengan Utusan Khas Amerika Syarikat ke Timur Tengah, Steve Witkoff.

Selain itu, Anwar turut mengadakan rundingan peringkat tertinggi dengan Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, Perdana Menteri Qatar Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani, Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan dan Ketua Keselamatan Negara Turkiye, Dr Ibrahim Kalin.

Menurut beliau, rundingan itu bukan hanya tertumpu kepada keselamatan rakyat Malaysia dan Turkiye, tetapi turut melibatkan aktivis antarabangsa dari Eropah serta negara lain yang menyertai misi GSF.

Anwar turut menzahirkan rasa bangga terhadap keberanian semua aktivis Malaysia yang disifatkannya sebagai “wira dan wirawati negara” kerana tetap bertekad menembusi sekatan Israel bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Gaza.

Misi GSF yang disertai lebih 500 aktivis dari 45 negara berlayar menuju ke Gaza bagi membawa bantuan perubatan dan makanan, selain sebagai simbol solidariti dunia menentang kekejaman Zionis.

Antara aktivis Malaysia yang ditahan ialah penyanyi Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah; personaliti media sosial Farah Lee dan Danish Nazran Murad; penyanyi Zizi Kirana; serta pelakon Ardell Aryana.

Turut serta dalam kumpulan itu ialah pendakwah PU Rahmat, Ustaz Muhammad Abdullah, serta beberapa sukarelawan badan bukan kerajaan yang pernah aktif dalam misi kemanusiaan ke Syria dan Palestin sebelum ini.

Kapal mereka ditahan tentera Israel ketika berada di perairan Zon Merah R3, Laut Mediterranean, sebelum dibawa ke pelabuhan Ashdod.

Pembebasan kesemua aktivis Malaysia itu menandakan kejayaan besar diplomasi Malaysia–Turkiye, sekali gus memperkukuh imej negara di pentas antarabangsa sebagai pendukung tegas perjuangan kemanusiaan dan hak rakyat Palestin.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com