KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhasrat menganjurkan satu himpunan khas bagi meraikan kepulangan 23 sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) yang disifatkan sebagai wira dan wirawati kemanusiaan negara.
Anwar berkata, pengorbanan serta keberanian para sukarelawan yang mempertahankan hak rakyat Palestin dan menjunjung nilai kemanusiaan sejagat perlu dihargai seluruh rakyat Malaysia.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas keberanian, kecekalan dan pengorbanan mereka dalam memperjuangkan nasib rakyat Gaza yang terus dizalimi.
“Mereka adalah lambang keberanian rakyat Malaysia yang menjunjung nilai kemanusiaan tanpa mengenal sempadan. Kita juga akan menganjurkan satu himpunan khas bagi meraikan kepulangan para wira dan wirawati kemanusiaan ini, selain terus menyemarakkan solidariti rakyat Malaysia bersama saudara-saudara kita di Gaza,” katanya dalam kenyataan.
Beliau turut berkongsi visual perbualan bersama salah seorang sukarelawan GSF, Nur Fazelah Mad Tahil, atau lebih dikenali sebagai Zizi Kirana, serta beberapa aktivis lain yang kini berada di Istanbul selepas dibebaskan daripada tahanan Israel.
Dalam komunikasi itu, Anwar menyampaikan penghargaan terhadap semangat dan kesungguhan semua sukarelawan yang sanggup menyertai misi kemanusiaan berisiko tinggi demi membela rakyat Palestin.
“Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam flotila itu kerana usaha ini menimbulkan kesedaran kepada rakyat, terutama yang tidak mengikuti rapat perkembangan misi berkenaan,” katanya kepada Zizi.
Anwar turut memaklumkan beliau akan menyusun jadual bagi menghadiri perhimpunan tersebut pada malam ketibaan mereka yang dijangka tiba di Kuala Lumpur, Isnin ini.
Selain itu, Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Pengarah Keselamatan Presiden Turkiye, Dr Ibrahim Khalil, atas bantuan memastikan keselamatan serta kesihatan sukarelawan Malaysia berada dalam keadaan baik sepanjang proses pembebasan.
Beliau juga meminta para sukarelawan menulis nota penghargaan kepada Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, atas usaha membawa keluar mereka dari tahanan Israel dan memberi perlindungan sementara di Istanbul.
Misi Global Sumud Flotila disertai lebih 500 aktivis dari 45 negara dengan matlamat menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza dan memecahkan sekatan Israel yang berlarutan sejak sekian lama.
Kesemua sukarelawan Malaysia dijangka tiba di tanah air esok selepas melalui pelbagai proses keselamatan dan dokumentasi di Istanbul.