Kuala Lumpur – Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mendedahkan wujud percanggahan ketara dalam dokumen pendaftaran tujuh pemain berdarah warisan Malaysia yang didaftarkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), sekali gus mencetuskan kontroversi besar dalam arena bola sepak negara.
Dalam laporan rasmi yang ditandatangani Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FIFA, Jorge Palacio, badan induk itu menyatakan bahawa dokumen asal yang diperoleh mereka menunjukkan maklumat kelahiran ahli keluarga pemain terbabit tidak selari dengan dokumen yang dikemukakan oleh FAM.
“Jawatankuasa ingin menegaskan bahawa sijil kelahiran asal menunjukkan perbezaan ketara berbanding dokumen yang diserahkan,” kata Palacio dalam keputusan tersebut.
Antara kes yang menjadi perhatian ialah pemain tengah kelahiran Belanda, Hector Hevel, apabila dokumen FAM mendakwa datuknya lahir di Melaka, sedangkan sijil kelahiran asal menunjukkan tempat lahir sebenar di The Hague, Belanda.
Situasi sama turut membabitkan Jon Irazabal yang mana dokumen FAM menyatakan datuknya berasal dari Kuching, Sarawak, sedangkan rekod asal mengesahkan kelahiran di Villa de Guernica, Sepanyol.
FIFA turut menyenaraikan semakan tempat lahir asal keluarga Gabriel Palmero di Santa Cruz de la Palma, Sepanyol, dan datuk Facundo Garcés yang berasal dari Santa Fe de la Cruz, Argentina. Datuk Rodrigo Holgado pula dilahirkan di Buenos Aires, manakala nenek kepada Imanol Javier Machuca berasal dari Roldan.
Susulan pelanggaran Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA berkaitan pemalsuan dan penggunaan dokumen palsu dalam urusan rasmi, FAM dikenakan denda sebanyak RM1.8 juta.
Sementara itu, setiap pemain terbabit turut dikenakan denda RM11,000 dan digantung selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak.
Laporan FIFA turut memetik kenyataan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang mengesahkan pihak berkuasa Malaysia tidak pernah menerima sijil kelahiran asal untuk mengesahkan salasilah pemain-pemain berkenaan.
Sebaliknya, dokumen yang digunakan hanya berdasarkan maklumat sekunder dan salinan luar negara.
“Pengakuan ini menunjukkan proses pengesahan kerajaan Malaysia mungkin tidak berasaskan dokumen asal, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap ketelitian prosedur verifikasi FAM,” tegas laporan itu.
Keputusan ini dijangka memberi kesan besar terhadap kempen kelayakan Piala Asia 2027, selepas Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) memberi bayangan bahawa keputusan perlawanan Malaysia berpotensi dibatalkan dan mata kemenangan diserahkan kepada pasukan lawan sekiranya hukuman FIFA dikekalkan.
FAM diberikan tempoh selama 30 hari untuk menjelaskan bayaran denda dan tiga hari untuk mengemukakan notis rayuan kepada Jawatankuasa Rayuan FIFA.