Tuesday, 7, October, 2025
Utama Nasional PM tidak hadir sidang Parlimen, dititah hadir ke Istana Negara

PM tidak hadir sidang Parlimen, dititah hadir ke Istana Negara

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Sidang Dewan Rakyat pagi ini bermula tanpa Perdana Menteri selepas beliau dititah oleh Majlis Raja-Raja untuk hadir ke Istana Negara pada jam 10 pagi.

Speaker Dewan Rakyat memaklumkan perkara itu sebaik persidangan dimulakan, menyebabkan sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) yang dijadualkan hari ini dibatalkan. Dua soalan asal yang sepatutnya dijawab oleh Perdana Menteri akan dijadualkan semula pada tarikh lain.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, dua soalan berkenaan dikemukakan oleh Ahli Parlimen Paya Besar dan Masjid Tanah, masing-masing menyentuh pendirian Malaysia terhadap pelan damai Palestin-Israel serta persediaan kerajaan bagi kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.

Susulan ketidakhadiran Perdana Menteri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) mengusulkan supaya sesi MQT ditiadakan dan persidangan diteruskan dengan sesi soal jawab lisan.

Usul itu dibuat mengikut Peraturan Mesyuarat 14(2) dan disokong oleh Timbalan Menteri Kerja Raya yang juga Ahli Parlimen Pontian sebelum diluluskan oleh Speaker.

Speaker turut memaklumkan bahawa dua soalan yang tersenarai akan dijadualkan semula tanpa perlu dimasukkan semula ke dalam Aturan Urusan Mesyuarat.

MQT diadakan setiap Selasa sebagai sesi khas bagi Ahli Parlimen mengemukakan soalan terus kepada Perdana Menteri mengenai isu semasa, manakala sesi Khamis dijawab oleh menteri Kabinet.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com