Tuesday, 14, October, 2025
Utama Nasional Belanjawan 2026: RM15.5 bilion dikembalikan, bukti ketegasan kerajaan dalam tatakelola

Belanjawan 2026: RM15.5 bilion dikembalikan, bukti ketegasan kerajaan dalam tatakelola

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR – Ketegasan kerajaan dalam memperkukuh tatakelola dan memerangi ketirisan hasil negara membuahkan hasil apabila sebanyak RM15.5 bilion berjaya dikembalikan dalam tempoh dua tahun menerusi tindakan penguatkuasaan pelbagai agensi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kejayaan itu dicapai hasil komitmen Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) serta Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) yang melaksanakan penguatkuasaan tanpa pilih kasih.

“Langkah ini menunjukkan keazaman kerajaan dalam membina kecekapan fiskal, menutup ruang ketirisan serta memperkukuh institusi negara, seiring dengan tonggak utama Ekonomi MADANI,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, pada Jumaat.

Menurut Anwar, kerajaan memperuntukkan lebih RM700 juta tahun depan bagi meningkatkan keupayaan badan penguat kuasa termasuk SPRM, PDRM, KPDN, JKDM dan MyCC agar pelaksanaan dasar tatakelola terbaik dapat diteruskan.

Dalam masa sama, katanya, kerajaan turut melaksanakan reformasi sistem percukaian dengan pelaksanaan e-Invois secara menyeluruh mulai 2026, bertujuan menutup ruang penyelewengan dan memperkukuh ketelusan dalam pematuhan cukai.

Anwar turut mengumumkan bahawa pengecualian cukai kenderaan di Langkawi dan Labuan akan dihadkan kepada nilai kenderaan tidak melebihi RM300,000, berkuat kuasa 1 Januari 2026, bagi memastikan dasar itu hanya dinikmati oleh golongan sasaran.

Bagi memperkukuh hak pengguna, beliau berkata, Akta Perlindungan Pengguna akan dipinda bagi memasukkan elemen ‘Lemon Law’, yang memberi perlindungan lebih baik kepada pengguna jika barangan yang dibeli didapati rosak atau tidak menepati spesifikasi.

Selain itu, kerajaan memperuntukkan RM25 juta kepada Pasukan STAR untuk mempercepatkan usaha pendigitalan perkhidmatan awam, termasuk pelaksanaan MyDigital ID yang menyasarkan 15 juta pengguna menjelang akhir 2025.

Langkah-langkah di bawah Tekad Satu: Meluhur Tatakelola Terbaik ini, tegas Anwar, menjadi asas kepada kerajaan dalam menegakkan integriti, kecekapan serta tanggungjawab fiskal, sekaligus memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap institusi negara.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com