Tuesday, 14, October, 2025
Utama Nasional Kepelbagaian, perpaduan kaum asas kekuatan negara – PM

Kepelbagaian, perpaduan kaum asas kekuatan negara – PM

oleh Ammar Haziq

IPOH: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa semangat bangsa dan agama tidak akan tergugat walaupun pelajar pelbagai kaum, agama dan budaya belajar di bawah satu bumbung.

Menurut beliau, kepelbagaian masyarakat di Malaysia adalah kekuatan yang perlu diraikan, bukan dipersoalkan, kerana ia menjadi asas kepada perpaduan serta keharmonian negara.

“Malaysia ini negara berbagai kaum, berbagai agama, berbagai budaya. Anak-anak tahu ini – pelajar Melayu ada, pelajar Cina, pelajar India, pelajar Orang Asli pun ada – tetapi boleh bergaul sebagai satu pasukan anak-anak Malaysia,” katanya ketika berucap pada Majlis Sumbangan Kasih MADANI Sempena Deepavali 2025 di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Poi Lam, di sini.

Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Anwar menekankan bahawa rakyat perlu terus memupuk semangat menghormati dan memuliakan kepelbagaian budaya sebagai lambang kekuatan bersama.

Beliau berkata, Malaysia adalah antara satu-satunya negara di dunia yang meraikan pelbagai perayaan secara bersama, termasuk Aidilfitri, Tahun Baharu Cina dan Deepavali, yang menjadi simbol semangat saling menghormati antara kaum.

“Ini cara kita memuliakan budaya, menghormati masing-masing, bahasa dan adat. Inilah cara kita mengikat perpaduan negara,” katanya.

Dalam majlis itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun menyampaikan sumbangan kepada wakil 15 sekolah melibatkan 2,500 pelajar di kawasan berkenaan sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan memperkukuh kesejahteraan komuniti pelbagai kaum.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com