Tuesday, 14, October, 2025
Utama Nasional Malaysia bincang laluan darat bantuan ke Gaza dengan Mesir

Malaysia bincang laluan darat bantuan ke Gaza dengan Mesir

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menghubungi Presiden Mesir, Abdel Fattah el-Sisi dalam tempoh beberapa hari lagi bagi membincangkan usaha memudahkan penghantaran bantuan kemanusiaan Malaysia ke Gaza melalui darat menerusi lintasan Rafah.

Beliau berkata, cadangan itu merupakan sebahagian daripada langkah memastikan kelancaran pergerakan pasukan Malaysia di bawah Misi Sumud Nusantara, yang bekerjasama dengan rakan serantau menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin yang terjejas akibat kemusnahan berterusan di Gaza.

“Kita menghargai Presiden el-Sisi, Qatar, Mesir serta semua negara yang menyokong inisiatif keamanan. Kini keadaan telah reda, kita berharap akses dapat diberikan kepada pasukan kita.

“Saya berharap dapat berhubung dengan Presiden Abdel Fattah el-Sisi dalam beberapa hari lagi untuk mencadangkan supaya pasukan kita dibenarkan melalui Mesir ke Rafah bagi meneruskan misi bantuan,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika sesi ‘In Conversation with Prime Minister’ sempena Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Antarabangsa (iFUTURE) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir dan timbalannya, Datuk Mustapha Sakmud.

Perdana Menteri menjawab soalan peserta berhubung peranan Malaysia dalam bantuan kemanusiaan ke Gaza serta sumbangan yang boleh dimainkan oleh anak muda negara dalam isu berkenaan.

Beliau turut menegaskan bahawa pergerakan flotila, termasuk Global Sumud Flotilla (GSF), bukan inisiatif peribadinya sebaliknya digerakkan oleh para aktivis antarabangsa dan Malaysia atas dasar solidariti serta kemanusiaan.

“Flotila itu bukan inisiatif saya, saya tidak boleh mengambil kredit atasnya,” katanya.

Menurut beliau, kerajaan hanya menyediakan sokongan dan kemudahan kepada kumpulan sukarelawan Malaysia, Sumud Nusantara, sebagai pengiktirafan terhadap semangat mereka yang bertindak atas hati nurani untuk mempertahankan nilai sejagat, keadilan, kebebasan dan maruah manusia.

“Ada anak muda Malaysia yang mahu mengetuai usaha itu dan saya kata, ‘Baiklah’. Kami menyokong serta memudah cara mereka, dan kebetulan saya menjadi pemimpin pertama yang memberi sokongan rasmi terhadap misi tersebut,” jelasnya.

Pada 8 Oktober lalu, seramai 23 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan GSF selamat tiba di tanah air, manakala sembilan lagi daripada misi Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Medleens to Gaza (TMTG) tiba sehari kemudian.

Kedua-dua misi itu sebelum ini dipintas secara berasingan oleh pasukan keselamatan Israel sebelum para peserta ditahan dan dibebaskan beberapa hari kemudian.

Anwar turut menzahirkan harapan agar rundingan dengan Mesir dan pihak berkaitan akan membolehkan akses darat yang lebih lancar bagi misi kemanusiaan Malaysia pada fasa seterusnya, sekali gus memperkukuh kehadiran Malaysia dalam usaha solidariti global terhadap Gaza.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com